KEDUDUKAN Malaysia turun dua anak tangga di tempat ke-41 dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022 menunjukkan jaminan makanan negara berada pada tahap sederhana.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, dengan skor 69.9%, prestasi itu boleh disifatkan “tidak terlalu buruk” memandangkan negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.
Malah, katanya, walaupun berdepan pelbagai kekangan dalam tempoh itu, Malaysia masih berada dalam kategori tidak menerima sebarang bantuan makanan daripada pihak luar seperti agensi bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Kita masih lagi dalam keadaan dua tahun hadapi pandemik, kita masih boleh berdikari,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta kerajaan menyatakan langkah meningkatkan semula kedudukan Malaysia dalam GFSI 2022.
Pada 2021, laporan tahunan diterbitkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) itu menunjukkan Singapura dan Malaysia masing-masing berada di tangga ke-15 dan 39.
Kedudukan ini mengambil kira sistem rantaian dan faktor lain membabitkan bekalan berdasarkan konsep keselamatan makanan seperti diperkenalkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB menerusi Sidang Kemuncak Makanan Dunia 1996.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, Mohamad (PH-Kota Raja) berkata masih terdapat ruang untuk kerajaan meningkatkan kedudukan dalam GFSI bagi tempoh seterusnya terutama bagi kategori “kelestarian” dan “adaptasi” yang diklasifikasikan “lemah” dengan skor 53.7%.
“Tindakan susulan oleh kerajaan tidak hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan negara dalam GFSI tetapi memastikan sistem makanan kekal berdaya tahan dalam pelbagai keadaan,” katanya.
Sejak tahun lalu, pengguna merungut susulan kekurangan bekalan makanan asas antaranya telur dan ayam, yang kini masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. – SM