Sedikit sahaja kealpaan generasi muda dalam mengambil iktibar betapa pentingnya menghargai sejarah, ia akan memberi kesan buruk ke atas masa depan negara.
Hal ini demikian kerana generasi muda berperanan sebagai pemimpin dan seseorang pemimpin itu akan tercorak mengikut acuan masyarakat pada zaman mereka.
Namun demikian pada hari ini, penghayatan pada sejarah itu seolah-olah sudah tiada dan semakin pupus kerana perkembangan teknologi yang pantas.
Akhirnya, generasi muda lebih mengejar atau memuja kehebatan teknologi luar berbanding menilai semula kepentingan sejarah untuk dihayati.
Dalam masa yang sama, pendidikan nasional yang tidak begitu menerapkan soal sejarah tempatan secara holistik amat merugikan kerana jati diri bangsa itu gagal dipupuk.
Kesannya, orang-orang Melayu di Malaysia khususnya tidak mustahil akan terus kehilangan Tanah Melayu sekali gus membuatkan sejarah kembali berulang.
Bagaimana ia boleh berulang? Suatu masa dahulu, kerana lemahnya jati diri pembelaan Tanah Air, Portugis, Belanda dan Bristish datang membuat kacau.
Mujur masih ada Melayu yang berjiwa patriotik meniup semangat perjuangan dalam kalangan orang tempatan untuk bangkit menentang penjajah.
Melihat semula permasalahan pada masa kini, kebajiran warga asing tanpa kawalan dan pemberotakan halus daripada masyarakat sudah mula kelihatan.
Namun betapa pantas Melayu menyedari dan akan bertindak balas mengenai permasalahan ini, sesuatu yang sukar diduga dan ibarat menunggu ‘pahat diketuk penukul’.
Mungkin terdapat ketakutan untuk melawan norma ini namun sekiranya perasaan bangga menjadi Melayu tidak terus disemat, Melayu pasti akan hilang di dunia.