Nasional

Segelintir pajak gadai ambil kesempatan kaut untung – FOMCA

GABUNGAN abungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima aduan terdapat beberapa syarikat pajak gadai menekan rakyat yang tidak begitu arif tentang moratorium dengan mengenakan caj walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, Ketua Pegawai Operasi  FOMCA Saravanan Thambirajah menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memantau beberapa syarikat pajak gadai yang mengenakan caj kepada pengguna.

Beliau berkata sebelum ini Persatuan Pajak Gadai Malaysia memaklumkan bahawa caj tidak dikenakan terhadap gadaian selama tiga bulan iaitu bermula dari 18 Mac hingga12 Mei.

“FOMCA telah menerima aduan daripada pengguna yang menggadaikan barang kemas mereka dan dimaklumkan perlu membayar sehingga sembilan bulan. Oleh itu, pihak KPKT perlu turun padang dan memantau di setiap premis pajak gadai ini.

“KPKT perlu mengambil inisiatif membantu pengguna yang tertindas. FOMCA berharap pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak pengguna supaya tidak dibuli hanya kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata KPKT juga memberi peluang kepada pengguna untuk mengadu nasib melalui media sosial atau menggunakan WhatsApp bagi memudahkan mereka yang tertindas menghantar gambar dan maklumat pemegang pajak gadai terbabit.

Baru-baru ini tular sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula yang memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi semula pajak gadai antara yang diserbuj.

Selama lebih 43 hari masyarakat berkurung di dalam rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan segelintir daripada mereka tidak dapat mencari rezeki,

Ini terutama peniaga kecil yang tidak dapat membuka gerai jualan serta mereka yang bekerja sendiri dan bergantung kepada upah harian.

Di media sosial netizen berkongsi gambar orang ramai mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan dengan beratur panjang di beberapa lokasi untuk melakukan urusan harian yang tertangguh sekian lama. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button