Rencah Hidup

PKPB saksikan ramai beratur di pajak gadai

HARI ini bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi semula.

Selama lebih 43 hari masyarakat berkurung di dalam rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan segelintir daripada mereka tidak dapat mencari rezeki,

Ini terutama peniaga kecil yang tidak dapat membuka gerai jualan serta mereka yang bekerja sendiri dan bergantung kepada upah harian.

Di media sosial netizen berkongsi gambar orang ramai mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan dengan beratur panjang di beberapa lokasi untuk melakukan urusan harian yang tertangguh sekian lama.

Antara yang menjadi tempat tumpuan masyarakat termasuklah beberapa premis pajak gadai. Kelihatan orang ramai beratur panjang di premis berkenaan.

Terdapat dua sebab mereka berada di premis pajak gadai sama ada untuk menebus balik barang yang dipajak sebelum ini atau memajakan barang berharga milik mereka bagi menampung perbelanjaan seharian berikutan terputus punca rezeki kerana tidak keluar bekerja sepanjang PKP berlangsung.

Melalui gambar yang dikongsi kebanyakan mereka memakai topeng penutup mulut dan hidung yang menjadi kemestian ketika ini berikutan penularan virus maut Covid-19.

Situasi berkenaan mengundang simpati kepada masyarakat.

“Hari pertama PKPB di kawasan saya orang beratur hendak masuk ke pajak gadai. Saya menulis dari sudut kepayahan hidup rakyat bukan pasal SOP,” kata Ab Jalil Backer.

“Itu adalah lebih baik sekiranya ada daripada meminta-minta,” komen Jamaayah Jadzly.

“Itu jalan yang terbaik untuk teruskan kelangsungan hidup,” kata Ayue Natasha.

“Ya lah musim ni semua orang pun kurang jugak nak buat macam manakan sabar jer la,” komen Ariba Nami.

Pada Jumaat lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia, akan dibenarkan beroperasi bermula Isnin ini tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP, yang ditetapkan pihak berkuasa.

Namun, menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara masih terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB, termasuk aktiviti perikanan rekreasi.

Bagaimanapun terdapat tujuh negeri yang tidak melaksanakan PKPB ini dan terus kekal dengan PKP kerana bimbang penularan semula Covid-19. -SM

(Visited 786 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button