Ekonomi

SCIB raih kontrak PPAM RM162 juta di Perak

KUCHING, SARAWAK, 25 JULAI 2024 – Pakar sistem bangunan perindustrian, Sarawak Consolidated Industries Berhad (“SCIB” atau “Syarikat) dianugerah projek bernilai RM162 juta oleh Awana JV Suria Saga Sdn. Bhd. (“AJVS”) untuk pembangunan, infrastruktur dan kerja-kerja bangunan utama Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) di Mualim, Perak.

Projek tersebut diberi kepasa anak syarikat SCIB Properties Sdn Bhd yang melibatkan pembinaan kedua-dua unit rumah mampu milik dan komersial merentas dua fasa, menekankan komitmen SCIB untuk meningkatkan infrastruktur perumahan di Malaysia.

Projek PPAM akan dijalankan dalam dua fasa. Fasa 1A akan terdiri daripada 346 unit rumah teres mampu milik satu tingkat (Jenis B) dan 28 unit pejabat kedai dua tingkat.

Fasa 1B akan merangkumi 455 unit rumah teres mampu milik dua tingkat (Jenis A). Pembangunan itu meliputi kira-kira 48.56 hektar merentasi beberapa lot di Mukim Hulu Bernam Timur, Mualim, Perak. Jumlah kontrak keseluruhan projek ini ialah RM162 juta, dengan tempoh kontrak selama 23 bulan.
Pengarah Urusan SCIB, Ku Chong Hong berkata pihaknya berbesar hati kerana diamanahkan dengan projek penting ini yang sejajar dengan tumpuan strategik terhadap pembangunan komuniti yang mampan.

“Kontrak ini bukan sahaja mengukuhkan portfolio kami dalam sektor pembinaan tetapi juga menekankan dedikasi kami untuk menyumbang kepada landskap rumah mampu milik Malaysia. Kami yakin dengan keupayaan kami untuk memberikan ruang kediaman berkualiti yang memenuhi piawaian pembinaan dan kelestarian alam sekitar yang dikehendaki. Projek terbaru dan perkongsian strategik kami terus memacu keyakinan kami dalam mengekalkan keuntungan dan mencapai pertumbuhan jangka panjang,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah projek baharu itu menambah portfolio SCIB yang mengagumkan dan menunjukkan keupayaan Syarikat untuk melaksanakan dan menyiapkan projek infrastruktur berskala besar.

SCIB kekal komited untuk menyampaikan projek yang menambah nilai kepada pemegang kepentingannya dan menyokong matlamat pembangunan negara.

Terbaru, SCIB mengumumkan jaminan kemudahan perbankan Islam berjumlah RM70 juta daripada Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank).

Langkah ini meningkatkan ketangkasan kewangan SCIB dan menyokong komitmennya terhadap kecemerlangan dan pertumbuhan operasi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button