Nasional

SAYA tidak menjelma menjadi “Wolverine” – Najib

“SAYA tidak menjelma menjadi “Wolverine” – watak adiwira dari komik Marvel  selepas disuntik vaksin Covid-19 dua bulan lalu,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak dalam nada berseloroh.

Beliau turut menepis dakwaan kononnya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas menerima suntikan vaksin, dua bulan lalu.

Ketika menceritakan kehidupannya selepas divaksin di akaun Facebook Najib berkata, beliau menjalani kegiatan harian seperti biasa.

Malahan beliau juga melakukan senaman dan “bermain” FB tanpa sebarang masalah.

“Saya bernasib baik sudah menerima vaksin dua bulan lalu tetapi saya tahu ada pihak yang menyebarkan macam-macam berita kononnya saya mengalami masalah selepas divaksin,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Najib juga cuba meyakinkan pembacanya bahawa tiada mikrocip disuntik ke dalam badannya sewaktu menerima suntikan vaksin.

Dalam pada itu, Najib kecewa kerana pendaftaran vaksin masih rendah dan memperlahankan sasaran negara mencapai imuniti kelompok.

“Yang sudah daftar ketika ini hanya 13 juta sahaja sedangkan rakyat Malaysia ada lebih 30 juta.

“Ini bermaksud 17 juta tidak mendaftar diri atau sekurang-kurangnya 8 juta penduduk perlu mendaftar untuk negara capai imuniti kelompok,” ujar beliau.

Pada pandangan bekas Presiden UMNO itu, nampaknya jauh lagi rakyat negara ini dari sasaran imuniti kelompok.

“Kita sudah kesuntukan masa dan berada pada tahap kritikal,” katanya dan sekali gus menyeru semua individu berusia 18 tahun ke atas agar segera mendaftar untuk divaksin.

Dalam pada itu Najib turut menggesa kerajaan supaya mempergiatkan lagi usaha memberikan suntikan vaksin kepada rakyat memandangkan hanya 3 juta penduduk telah menerima dos pertama vaksin tersebut.

“Kadar vaksinasi wajar ditingkatkan. Jika tidak kita akan lihat jangkitan berterusan dan tambahan kluster serta lebih banyak kehilangan nyawa. Ekonomi juga terus terjejas,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button