Saya dah biasa dikritik sejak berumur 11 tahun lagi – Cik B
SUDAH terbiasa menerima kritikan sejak berumur 11 tahun membuatkan anak kepada usahawan kosmetik, Cik B, seakan kalis dengan apa sahaja kecaman yang diberikan terhadapnya.
Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhamad Amin berkata, segala komen jaat dan tidak membina terhadapnya memang tidak dihiraukan.
Disebabkan itu juga anak kepada Datuk Seri Vida ini tidak peduli dengan individu yang mengkritik lagu baharunya yang berjudul Tolonglah.
“Bagi yang memberikan tanda ‘dislike’, saya pun tidak tahu sebab apa.
“Mungkin mereka tidak tengok lagi tapi dah ‘dislike’. Mungkin juga mereka adalah ‘haters’, jadi dengki dengan saya. Tidak mengapalah, biarlah mereka puaskan hati sendiri dengan cara itu,” katanya.
Dalam masa sama, Cik B yang juga anak kepada usahawan terkenal Datuk Seri Vida berkata selepas ini dia akan muncul dengan video muzik lirik dengan video berbeza.
Malah, Cik B berpesan kepada orang ramai yang memperkecilkan bakatnya supaya tidak menyimpan perasaan iri dan benci terhadap dirinya.
“Bagi mereka yang memperkecilkan bakat saya, kita tak boleh benci orang. Simpan saja kalau sakit hati sebab saya tidak pernah sakitkan hati mereka.
“Mengenai kritikan membabitkan kualiti video muzik ini, saya akui ianya tidak sehebat kualiti muzik video yang lain.
“Dalam erti kata lain banyak kekurangan terutama pelakon yang terbabit sebab saya menggunakan khidmat kakitangan mama untuk berlakon kecuali pelakon yang melakonkan watak saya.
“Jadi, untuk segala kritikan saya sudah bersedia termasuk yang akan ‘dislike’. Walaupun kecaman diterima akan membuatkan saya berasa lemah semangat, tapi saya buat tidak tahu saja. Ibaratnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” jelasnya.
Mencecah angka 3 juta tontonan, Cik B juga memberitahu yang dia tidak sangka bahawa lagunya itu akan tular dan ‘trending’ di YouTube.
Tambah Cik B, dia juga seakan tidak percaya kerana boleh menghasilkan lagu yang mendapat perhatian orang ramai sehingga menjadi trending. -SM