Saya calon ‘underdog’ Titiwangsa – Khairuddin
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menganggap dirinya sebagai calon ‘underdog’ bagi Parlimen Titiwangsa.
Beliau bertanding di atas tiket GTA atau Gerakan Tanah Air dengan menggunakan logo parti Pejuang diumumkan sebagai calon bagi kawasan berkenaan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
”Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir, Datuk Wira Marzuki Yahya serta keseluruhan kepimpinan tertinggi GTA yang telah meletakkan kepercayaan di atas bahu saya untuk bertanding di kerusi Parlimen P119 Titiwangsa.
”Kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi GTA serta PEJUANG merupakan suntikan semangat kepada saya untuk terus berjuang seterusnya menyumbangkan satu kerusi P119 Titiwangsa kepada GTA selepas PRU15 kelak.
”Insya-Allah, saya akan memikul amanah ini secara terbaik dan teramanah mungkin ke arah bagi memenangkan kerusi Parlimen P119 Titiwangsa ini. Ameen.
“Saya akan masuk ke gelanggang PRU15 di kerusi Parlimen P119 Titiwangsa ini sebagai ‘underdog’ tetapi akan bertungkus-lumus secara habis-habisan untuk memenangi kerusi tersebut dari rakan-rakan pencabar lain,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau memberitahu, akan bertanding atas dasar ‘semangat kekeluargaan’ dan secara professional tanpa mengizinkan sebarang bentuk kempen yang tidak beretika ataupun serangan peribadi berlaku dalam kawasan Parlimen P119 Titiwangsa.
Para pencabar semua adalah dari kalangan sahabat karib dan kempen berbentuk provokasi juga tidak akan diizinkan sama sekali di kerusi Parlimen P119 Titiwangsa.
Setelah hampir setahun setengah berkhidmat di kawasan Parlimen Titiwangsa serta seluruh Wilayah Persekutuan secara konsisten amat yakin para pengundi akan bijak menilai prestasi calon-calon dari GTA yang bakal menggunakan logo PEJUANG sebagai platform pertandingan kali ini.
Kali ini merupakan ‘ibu’ kepada keseluruhan sejarah pilihanraya di tanahair kita dan sekiranya rakyat salah memilih berkemungkinan besar akan meruntuhkan keseluruhan negara kita sehingga tidak dapat untuk bangun semula.
Masa depan bangsa serta negara terletak pada kebijaksanaan para pengundi kali ini.
Jangan sama sekali kita memperjudikan masa depan bangsa dan negara dengan membuat pilihan yang salah lagi pada PRU15.
Sesungguhnya, pemimpin-pemimpin yang kekal berprinsip dulu, kini dan selamanya hanyalah terdiri dari barisan kepimpinan GERAKAN TANAH AIR (GTA).
Beliau yang juga Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan turut menyeru sokongan diberi kepada semua calon GTA ke arah kita membina semula ‘Malaysia Baharu’ demi kesejahteraan keseluruhan bangsa serta negara tanpa kira kaum mahupun agama.