Politik

Saya bukan nak riak tapi saya telah dicabar dan menang – Zahid Hamidi

MENAFIKAN bunyi riak atau takbur, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin mempertahankan jawatan presiden jika dicabar oleh mana-mana ahli parti pada pemilihan UMNO akan datang.

Zahid menyuarakan keyakinan itu berdasarkan senario pemilihan parti pada 2018 yang mana berlaku pertandingan tiga penjuru bagi jawatan presiden ketika dicabar dua calon lain, Khairy Jamaluddin (KJ) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Zahid berkata, pada pemilihan tersebut, beliau mendapat undi tinggi walaupun undian kedua-dua pencabarnya digabungkan.

Pada pemilihan UMNO 2018, Zahid memperoleh 99 undi sementara Khairy, 61 dan Ku Li memperoleh 30.

“Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya. Undi dua-dua tu masih belum sama dengan undi yang saya peroleh.

“Bukan saya riak tetapi itu sudah terbukti pada 2018 malah kombinasi dua-dua itu sangat kurang berbanding undi yang saya peroleh.

“Ini bukan riak, bukan takbur,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya adakah dirinya bersedia sekiranya dicabar pada pemilihan parti akan datang.

Sebelum ini timbul gesaan daripada dalam parti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button