“Satu pencapaian besar buat saya,” – Naim Daniel tercalon di MTV EMA 2021
PENYANYI dan pelakon berbakat, Naim Daniel tercalon dalam kategori Best Southeast Asia di MTV EMA 2021 dan dia meluahkan rasa syukurnya sekali gus dapat mewakili Malaysia dalam acara hiburan berprestij itu.
Naim mengatakan bahawa pencalonan ini adalah merupakan pencapaian terbesar dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Naim, 24, menjadikan ini sebagai satu pengalaman berharga untuk anak muda sepertinya kerana tercalon dalam anugerah bertaraf antarabangsa itu.
“Pada awalnya saya tidak percaya kerana ini adalah satu pencapaian besar kepada saya dan kalau saya menang, itu adalah merupakan bonus.
“Jika tidak menang, pencalonan ini masih menjadi sesuatu yang dapat dibanggakan kepada saya sebagai penggiat seni,” katanya.
Selain itu, dia turut dapat melihat beberapa nama besar dalam acara itu dan pencalonan ini dapat dijadikan sebagai pengalaman baru kepadanya sebagai seorang anak muda.
“Alhamdulillah, saya sendiri pun tidak menyangka saya akan tercalon dalam MTV EMA 2021,” ucapnya.
Selain Naim Daniel yang tercalon, ada beberapa lagi bintang lain yang tercalon dalam katergori sama seperti Lyodra dari Indonesia, SB19 dari Filipina, Ink Waruntorn dari Thailand, JJ Lin dari Singapura, dan K-ICM dari Vietnam.
Antara pencalonan lain dalam acara itu adalah bintang-bintang dunia iaitu Justin Bieber, Lady Gaga, Ed Sheeran dan ramai lagi. – SM