Bola SepakSukan

Sanchez luah kenangan pahit ketika bersama Manchester United

ALEXIS Sanchez mendedahkan dia mahu meninggalkan Manchester United hanya selepas satu sesi latihan setelah perpindahannya dari Arsenal pada 2018.

Pemain antarabangsa Chile itu terpaksa mengharungi igauan buruk sepanjang dia berada di Old Trafford, meskipun Red Devils membayar gaji sebanyak 560,000 pound (RM3.08 juta) seminggu.

Sanchez hanya menjaringkan lima gol dalam 45 penampilan sebelum berpindah ke Inter Milan secara pinjaman bagi musim 2019/20, dan dia kini bermain secara tetap bersama kelab itu.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang mengesahkan perpindahan ke Manchester City menemui kegagalan sebelum menyertai United, mendedahkan dia telah meminta untuk kembali ke pangkuan kelab lamanya, Arsenal selepas hanya sehari menyertai latihan di bawah kendalian, Jose Mourinho.

Dalam pengakuan mengejutkan menerusi video di Instagram, Sanchez berkata: “Saya mahu memberitahu anda tentang ketika saya di United, mengenai banyak perkara yang diperkatakan dan sehingga menjadikan saya kelihatan orang jahat.

Related Articles

“Saya berpeluang menyertai United dan ia memang menarik minat saya. Ia sesuatu yang bagus bagi saya kerana semasa saya budak-budak lagi, saya sangat sukakan kelab itu.

“Saya akhirnya bertindak menyertai mereka tanpa banyak informasi apa yang berlaku tentang perpindahan itu. Hari pertama saya bersama rakan sepasukan, kadang kala anda tidak akan sedar sehinggalah anda tiba di situ.

“Pada hari pertama latihan saya sudah mula sedar tentang banyak perkara. Saya pulang ke rumah dan saya menghubungi wakil saya: ‘Bolehkah kontrak dibatalkan untuk saya kembali ke Arsenal?’.

“Mereka mula ketawa dan saya memaklumkan kepada mereka bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan saya. Saya telahpun menurunkan tanda tangan.”

Mengimbas kembali sewaktu dia diketepikan oleh Mourinho daripada skuad Manchester United menentang West Ham pada September 2018, Sanchez menyifatkan, peristiwa itu telah memberi satu tamparan hebat kepada pemain sayap Chile itu.

Daripada menjadi salah seorang pemain yang paling digeruni di bahagian serangan dalam kancah Liga Perdana Inggeris ketika bersama Arsenal, hanya berselang sembilan bulan selepas itu dia dipandang sepi.

“Dalam perlawanan menentang West Ham, saya tidak terpilih. Ia tidak pernah berlaku sepanjang saya bergelar pemain. Keputusan itu benar-benar mengganggu saya dan saya berkata, ini tidak mungkin berlaku.

“Daripada menjadi salah seorang pemain terbaik dalam Liga Perdana kepada seorang pemain yang tidak beraksi selama lima bulan. Saya pulang ke rumah dan saya sangat sedih. Pada hari berikutnya, saya berlatih secara berturut-turut kerana saya sukakan apa yang saya buat,” katanya.

Manchester United tewas kepada West Ham 1-3 dan Mourinho dipecat hanya beberapa bulan selepas itu dengan Red Devils jatuh ke pertengahan liga.

Sanchez kemudiannya mengambil inisiatif bercakap dengan penggantinya, Ole Gunnar Solskjaer tentang hasratnya untuk berpindah.

“Sewaktu jurulatih baru tiba, saya memutuskan untuk bercakap dengannya. Saya memberitahunya yang saya perlu bernafas, dan peluang untuk menyertai Inter. Dia memaklumkan saya, boleh, tiada masalah,” jelasnya.

Pemain sayap itu, yang meledakkan 80 gol dalam 166 perlawanan bersama Arsenal sebelum berpindah ke Old Trafford menerusi pertukaran kelab dengan Henrikh Mhkitaryan pada Januari 2018 mengakui, komen yang dibuat oleh beberapa media tertentu telah membuatnya marah sewaktu di Old Trafford.

“Pemberita bercakap tanpa sebarang pengetahuan dan ia benar-benar melukakan hati saya. Seorang bekas pemain yang bercakap tanpa sebarang pengetahuan apa yang berlaku di dalam kelab telah memberikan pandangan yang menuding jari bahawa semua yang berlaku adalah kesilapan saya.

“Hanya disebabkan mereka perlu menyalahkan seseorang, maka mereka menyalahkan saya,” ujarnya.
Sanchez mengakhiri video dengan mendedahkan bahawa dia sentiasa mahukan masanya ketika di Manchester United berjaya, tetapi dia menjadi matang daripada situasi yang berlaku itu.

“Apa yang boleh saya katakan kini ialah terima kasih kerana memberi saya peluang menyarung jersi kelab itu. Ia memang mengganggu saya kerana ia tidak berlaku seperti yang saya mahukan.

“Jika suasana pada ketika itu lebih positif, ia mungkin berlaku sebaliknya. Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah saya telah mempelajari menjadi seorang pemain dan juga individu. Kalau boleh saya mahu menang segala-galanya,” kata Sanchez. – Daily Mail UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button