TINDAKAN cuai dan mungkin tidak masuk asal seorang guru besar berusia 50 tahun yang mengeluarkan wang tunai bantuan awal persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 di Semenyih, semalam yang mana tidak sepatutnya terjadi rompakan.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, wang BAP yang dikeluarkan oleh guru besar sebuah sekolah dari bank di Kampung Baru Semenyih ditinggalkan dalam kenderaan milik guru besar berkenaan.
Berdasarkan siasatan lanjut polis mendapati, wang itu yang diisi di dalam sebuah beg, ditinggalkan di dalam kenderaan jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang milik guru besar tersebut.
Dia kemudiannya pergi ke sebuah restoran untuk membeli minuman.
Sudah tentulah perbuatannya meninggalkan beg di atas tempat duduk penumpang hadapan di dalam kereta mengundang perbuatan jenayah.
Selang hampir 10 minit selepas dia pergi membeli air, apabila kembali ke kenderaan, cermin kereta milik guru besar itu di bahagian kanan penumpang belakang dan beg berisi wang tunai lebih RM100,000 itu lesap.
Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan bagaimanapun mempersoalkan tindakan pihak sekolah kerana tidak memohon bantuan pengiring keselamatan sehingga membawa kejadian rompakan wang tunai BAP semalam.
Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang mengeluarkan wang sebanyak itu tanpa melibatkan bantuan polis.
“Kita, polis sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan kepada lebih 100 sekolah di sekitar Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.
“Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.
“Kita syorkan kepada pihak sekolah supaya mendapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iringi mereka dari bank sehingga ke tempat selamat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau juga berkata, polis membuat siasatan menyeluruh termasuk unsur kecuaian dan pembabitan “orang dalam” dalam kes ini.
“Buat masa ini kita teruskan siasatan dengan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang keluar masuk dari bank berkenaan.
“Kita akan siasat dari semua sudut termasuk kemungkinan ada penglibatan ‘orang dalam’ dan kemungkinan ada kecuaian.
“Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya. – SM