Sami di India sembah Dewi Corona untuk redakan jangkitan
Sami Hindu di sebuah kuil du India berdoa setiap hari kepada dua dewi Corona dalam usaha untuk menjinakkan wabak itu ketika negara tersebut menghadapi lonjakan jangkitan baru.
Dua patung “Dewi Corona” telah didirikan di bandar Coimbatore di selatan India yang terjejas teruk dalam wabak yang telah membunuh 100,000 orang di seluruh negara itu dalam empat minggu terakhir.
Kuil Kamatchipuri Adhinam yang menempatkan patung dewi itu ditutup kepada penganut kerana kadar jangkitan di kota itu tinggi tetapi para sami memberi penghormatan di hadapan dewi yang satunya diperbuat dari kayu cendana dan satu lagi dari batu.
Mereka mempersembahkan makanan dan melantunkan doa untuk dewi tersebut mengakhiri wabak tersebut. Mereka turut memandikan patung dewi berkenaan dengan air kunyit dan susu.
“Kami pernah mempunyai kuil serupa untuk cacar, cacar air dan wabak pada masa lalu,” kata pengurus kuil Anandbharathi K.
“Kami menyembah virus itu dalam bentuk dewi dan berdoa kepadanya setiap hari untuk mengurangkan kesan penyakit ini,” tambahnya.
Walaupun jumlah kes menurun di sebagian besar India, negara yang berjumlah 1.3 bilion orang penduduk itu telah dikejutkan dengan gelombang terbaru wabak Covid-19 yang parah menyebabkan hospital kekurangan oksigen dan ubat-ubatan.
“Bahkan doktor tidak dapat menangani keadaan yang sangat besar. Oleh itu, kita beralih kepada iman dan Tuhan sebagai jalan terakhir,” kata Anandbharathi.
Para sami merancang untuk meneruskan doa mereka kepada berhala “Dewi Corona” selama tujuh minggu lagi.
India pada hari Khamis mencatatkan 211,298 kes koronavirus baru sementara kematian dari Covid-19 meningkat sebanyak 3,847 sehari.
Jumlah keseluruhan jangkitan di negara Asia Selatan adalah 27.37 juta, sementara jumlah kematian adalah 315,235.-SM