Acara

Sambutan jubli perak pemerintahan Raja Perlis pada 17 April 2025

KANGAR 15 Sept. – Sambutan hari peringatan Jubli Perak ke-25 tahun pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail akan diadakan pada 17 April 2025.

Demikian dimaklumkan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas dalam akhbar tempatan sempena sambutan hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-81 di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat, Kangar.


Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua ke majlis yang dianjurkan secara bersama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) itu disambut oleh Yang DiPertua MPK, Affendi Rajini Kanth dan barisan para penaja sisipan khas tersebut.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Pelbagai program sedang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri antara kemuncaknya ialah untuk mengundang tetamu-tetamu Diraja berangkat ke Perlis bagi menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja.

“Selain program-program biasa yang sering diadakan sempena hari ulang tahun baginda, sedang diteliti buat masa ini bagi melibatkan kehadiran rakyat jelata adalah untuk menjadi hos Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan, Persembahan Orkestra Diraja, Majlis Perasmian Mercu Tanda Jubli Perak serta Istiadat Mengarak Panji-Panji Rejimen Renjer DiRaja.

“Pelbagai aktiviti melibatkan kecergasan juga akan dianjurkan di segenap peringkat untuk menggalak rakyat Perlis hidup sihat, cergas dan aktif,” titah baginda.

Tuanku Pemangku Raja berharap rakyat Perlis agar bersama-sama dalam usaha untuk menjadikan negeri ini bersih dan indah, maju serta mampan seterusnya menyahut semua seruan agar seiring dalam setiap gerak kerja termasuklah membudayakan sikap positif dan komited terhadap tanggungjawab bersama.

Hari peringatan ini juga berkemungkinan besar akan dikenali sebagai ‘Zinatul Muluk’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button