MahkamahNasional

Saman fitnah Tun M: Zahid sengaja bangkitkan isu perkauman

Sengaja jatuhkan reputasi Tun M sebagai tokoh politik berpengaruh dunia

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sengaja membangkitkan isu perkauman selain menjatuhkan reputasi beliau sebagai tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia.

Tun Mahathir, 97, selaku plaintif berkata, hanya dengan mempunyai salasilah keturunan yang berdarah India tidak menjadikan beliau “kurang Melayu” atau “bukan Melayu”.

“Ini juga telah dibangkitkan oleh defendan (Zahid) hanya selepas saya tidak lagi bersama UMNO yang jelas menunjukkan motif dan niat jahat defendan,” dakwa Mahathir menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Zahid yang difailkan pada 8 September lepas seperti dilaporkan FMT, hari ini.

Tun Mahathir menyaman Zahid, 69, pada 20 Julai lalu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.

Ahli Parlimen Langkawi itu yang menjawab pembelaan Zahid turut mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu sememangnya mempunyai niat jahat (malice) apabila memfitnah dengan menggelarnya sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ tanpa sebarang usul periksa tentang latar belakang atau keturunannya.

Dakwa Tun Mahathir, defendan juga gagal mengambil langkah wajar dan munasabah untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan daripada beliau sebelum membuat kenyataan fitnah itu.

Tun Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwa beliau lagi, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa beliau menjadi perdana menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Sementara itu, Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.

Dakwa Presiden UMNO itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Tun Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 7 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button