Sama ada Akmal salah pandang, hilang ingatan atau mungkin sengaja
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diminta supaya menyemak fakta dan tidak membuat kenyataan dangkal ketika menuduh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanuis Md Noor tidak hadir pada lawatanmenteri berkenaan ke Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu baru-baru ini.
Pegawai Khas Menteri Besar, Salmy Anas Ahmad berkata, jemputan yang dibuat bukan kepada Menteri Besar tetapi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria.
“Sama ada Akmal tersalah pandang, hilang ingatan atau mungkin sengaja mereka cerita, tuduhan itu sememangnya jelas memburukkan Menteri Besar Kedah demi meraih laba politik atau ‘political mileage’. kata beliau.
Salmy Anas berkata, beliau tidak pasti perkara yang ada dalam fikiran Timbalan Menteri itu hingga mendakwa telah menghantar surat jemputan lawatan kepada Sanusi.
Sedangkan katanya, setelah disemak, pihak Menteri Besar tiada menerima surat dimaksudkan.
Akmal ketika sesi menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Sanusi tidak hadir pada jemputan kementerian terbabit ketika lawatan meninjau perkembangan pembinaan LRA di Kedah.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeneri itu didakwa kononnya lebih cepat menerima jemputan turun padang bagi perlawanan bola sepak daripada hadir ke lawatan tersebut.
Menurut Anas, kenyataan itu jelas merupakan provokasi murahan untuk mencalar kredibiliti pemimpin nombor satu Kedah itu.
Lagi pula kata Anas, adalah tidak masuk akal setiap kali Menteri atau Timbalan Menteri turun ke Kedah, Menteri Besar perlu menyambut kedatangan mereka, exco sudah memadai.
“Jadi bagi saya dakwaan Akmal seolah-olah merendah-rendahkan kedudukan Exco yang dihantar mewakili kerajaan negeri untuk menyambut Timbalan Menteri datang ke Kedah,” katanya seperti yang dipetik dari Harakakh Daily. – SM