Sajat mengaku keluar Islam demi nama ibu dan bapanya
Usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman didakwa telah mengaku tidak lagi bergelar seorang Muslim.
Perkara itu susulan tersebarnya satu video berdurasi seminit lebih yang memaparkan dirinya mengaku sudah tidak mahu menjadi orang Islam.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Sajat membuat pengakuan untuk tidak lagi bergelar seorang Muslim.
Malah, sebelum ini Sajat pernah memberitahu ingin keluar dari Islam selepas videonya memakai bikini dan menampakkan pinggulnya telah dikecam netizen.
Menerusi video baharu yang tular itu, Sajat turut bersumpah demi namanya, ayah dan ibunya untuk tidak lagi menjadi orang Islam.
“Lepas JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) keluarkan statement (kenyataan), saya sudah malas nak fikir.
“Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Saya sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak saya, saya dah tak nak jadi orang Islam.
“Saya keluar daripada agama Islam, itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul. Mereka yang buat saya nak keluar daripada Islam. Mereka buat saya lebih jauh daripada Islam,” katanya menerusi video tersebut.
Untuk rekod, polis kini sedang dalam usaha untuk mengesannya selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat laporan polis.
Sebelum itu, JAIS pada 27 Februari telah membuat serbuan ke rumah Sajat namun gagal menemukan usahawan tersebut yang disyaki bersembunyi di tempat lain.
Serbuan dibuat JAIS itu juga susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam. -SM