Nasional

Saifudin perlu jelaskan rasional pelantikan Eric Paulsen

PERGERAKAN Pemuda UMNO mahu penjelasan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifudin Abdullah mengenai perlantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, apakah asas dan rasional pelantikan peguam yang terkenal dengan pelbagai kenyataan ekstrim dan berbaur penghinaan terhadap Islam dan umat Islam melalui saluran media sosialnya.

“Eric telah berkali-kali mengguris hati umat Islam dengan tulisan beliau seperti menuduh JAKIM mempromosi ekstrimisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh Hukum Syariah dan menyalahkan madrasah menuntut ilmu agama sebagai lokasi pembiakan ekstrimis agama.

“Jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda UMNO bertanggapan ramai lagi tokoh peguam atau aktivis hak asasi manusia yang sederhana dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan,” kata Asyraf Wajdi.

Pemuda UMNO berharap Saifudin tidak mengulangi keterlanjuran beliau ketika dalam Pakatan Harapan (PH) yang kuat mempelopori dan mempromosi agenda meratifikasi ICERD, Statut Rom dan pelbagai konvenyen Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang mampu menggugat kestabilan dan kerukunan negara pelbagai agama dan kaum.

Beberapa pihak sebelum ini tampil mempersoalkan pelantikan Eric dalam MPKM.

BACA Pas gesa menteri tarik pelantikan Eric Paulsen dalam MPKM

BACA https://suaramerdeka.com.my/isma-terkejut-lantikan-eric-paulsen-dalam-mpkm/

Pada Mac 2015 Eric telah ditahan berhubung dua kenyataannya mengenai undang-undang hudud di Twitter dan disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Eric juga pernah didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme.

Saifuddin baru-baru ini mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button