fbpx
Nasional

Pas gesa menteri tarik pelantikan Eric Paulsen dalam MPKM

LAGI bantahan terhadap pelantikan Peguam Lawyers for Liberty Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Terkini Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan motif dan tujuan yang ingin dicapai dengan pelantikan Eric yang sama sekali tidak dapat diterima.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Fadhli  memohon Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah untuk menarik balik pelantikan berkenaan.

BACA Isma terkejut lantikan Eric Paulsen dalam MPKM

Dalam masa yang sama Timbalan Ketua Pemuda Pas itu turut mengajak umat Islam seluruh negara menyatakan bantahan terhadap pelantikan Eric Paulsen


“Saya berpandangan umat Islam seluruhnya perlu bangkit menyatakan bantahan terhadap lantikan Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

“Walau apa pun tujuan dan motif yang ingin dicapai, pelantikan individu yang terkenal dengan promosi dan sokongan kuat terhadap pelbagai aliran sesat serta fahaman yang merosakkan struktur sosial seperti liberalisme, humanisme, hedonisme, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks songsang ini sama sekali tidak boleh diterima.

“Kerajaan pada hari ini perlu bergerak atas norma baharu dan norma baharu yang ingin dilaksanakan ialah norma yang tidak menerima budaya songsang yang bertentangan dengan Islam untuk diletakkan di atas pentas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada Mac 2015 Paulsen ditahan berhubung dua kenyataannya mengenai undang-undang hudud di Twitter dan disiasat oleh polis Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Paulsen juga pernah didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataannya di Twitter yang mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme.

Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.-SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button