Politik

Saat bahagia jangan lupa tika duka

1. Tidak ada siapa yang boleh menyalahkan ahli ahli UMNO apabila mereka begitu teruja dengan kemenangan bergaya mereka dalam PRN Johor yang baru diadakan.Namun kemenangan terkadang-kadang membawa mesej yang amat mengelirukan. Justeru, apabila ada dalam kalangan UMNO yang begitu yakin melontarkan ide untuk mengadakan PRU15 sekarang, saya lebih suka mengambil sikap berhati hati. Bersikap terlalu yakin adalah permulaan kepada kealpaan.

2. Apakah UMNO sudah bersedia? Jika ditanya kepada ahli ahli UMNO jawapannya pasti “SUDAH”. Akan tetapi bersedia dan jaminan kepada kemenangan yang selesa adalah dua perkara yang berbeza. Benar, UMNO mempunyai kelebihan ketika ini tetapi ianya tidak begitu besar dan yang membimbangkan adalah sekiranya keputusan PRU ini sekali lagi menunjukkan tiada pemenang mutlak dan ini merugikan UMNO. Apakah pengalaman PRU14 telah memberi pengajaran? Kita menjadi bijak bukan sahaja kerana pengalaman masa lalu, tetapi yang lebih penting kerana tanggungjawab akan masa depan.

3. Adalah lebih baik UMNO menumpukan perhatian kepada beberapa perkara terlebih dahulu. Pertama UMNO perlu memasti dan meyakinkan golongan muda yang baru mengundi buat kali pertama (termasuklah mereka yang tidak pernah mengundi kerana tidak mendaftar sebagai pengundi sebelum ini) berada bersama sama dengan Barisan Nasional. Keputusan PRN Johor menunjukkan bahawa pegangan UMNO terhdap golongan muda tidak utuh seperti yang diharapkan. Ini perlu dilakukan sebelum bercakap bahawa kita telah bersedia untuk PRU.

4. Kedua jadikan Melaka dan Johor sebagai bahan bukti akan keupayaan Barisan Nasional untuk mengembalikan kestabilan dan kemajuan. Lakukan sesuatu yang hebat di Melaka dan Johor dan negeri negeri lain yang di bawah Barisan Nasional bagi memberi gambaran dan cerminan mengapa para pengundi perlu mengundi Barisan Nasional.

5. Ketiga, para penyokong perlu bersatu padu dan mengelakkan pepecahan. Gambaran pepecahan akan menimbulkan kesangsian dan keraguan mereka yang masih tidak pasti siapa yang patut diberi undi. Secara umumnya Dato’ Seri Ismail Sabri telah menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan jayanya tanpa sebarang isu yang besar. Perlu diingatkan bahawa beliau tidak seperti Perdana Menteri UMNO yang lain sebelumnya kerana beliau merupakan Perdana Menteri kepada sebuah kerajaan campuran. Kuasa yang ada padanya dibatasi dengan pelbagai kekangan. Untuk melabelkan beliau dengan pelbagai tuduhan, adalah sangat tidak adil kerana beliau juga terlibat sama dalam kebangkitan semula UMNO. Begitu juga dengan barisan menteri UMNO yang telah menjadi tulang belakang kepada kerajaan yang ada sekarang. Mereka telah memberi gambaran yang amat positif tentang keupayaan mereka dalam menerajui sesebuah kementerian. Ini memberi impak dan keyakinan yang amat positif terhadap UMNO. Sebagai contohnya Dato’ Seri Mahdzir Khalid layak mendapat pujian yang tinggi kerana kecemerlangannya menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Latarbelakang beliau sebagai seorang bekas pendidik menjadikan beliau begitu selesa merencana agenda pembangunan dan kemenjadian rakyat di luar bandar. Ini semua menguntungkan imej UMNO.

6. Keempat, Barisan Nasional perlu mempunyai strategi yang berkesan untuk mengambil kesempatan diatas longgarnya keyakinan kaum Cina terhadap PH, khususnya DAP. Barisan Nasional perlu menyedari bahawa ketika ekonomi tidak ‘menjadi’ dalam tempoh 22 bulan ketika PH memerintah, DAP dilihat oleh kaum peniaganya sendiri sebagai ‘banyak cakap tetapi tidak ada tindakan’. Apakah Barisan Nasional telah bersedia untuk merampas peluang dengan apa yang terbentang di hadapan mereka?

7. Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid pernah berkata bahawa keputusan PRU14 didorong oleh emosi kerana pengundi terpengaruh dengan berita-berita palsu dan fitnah terhadap para pemimpin UMNO. Jelas sekarang bahawa masyarakat secara perlahan-lahan tidak lagi mabuk dengan berita berita yang mereka baca di media sosial. UMNO perlu bijak dan berhati hati. Melangkahlah dengan berhati hati dan berstrategi kerana hidup adalah aksi keseimbangan yang hebat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button