Rundingan ambil alih SESB tertangguh, bukan salah kerajaan PN
BUKAN salah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi kerajaan negeri Sabah yang harus dipertanggungjawabkan!
Rundingan mengambil alih Sabah Electricity Sdn. Bhd., (SESB) daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tertangguh adalah kesalahan kerajaan negeri. Begitulah dakwaan bekas anggota pentadbiran kerajaan negeri Sabah seperti dipetik dalam laporan FMT hari ini.
Bekas pembantu menteri kewangan Sabah, Kenny Chua berkata, kegagalan kerajaan membuat keputusan menyebabkan rundingan itu berlanjutan terlalu lama.
Beliau memberi respons terhadap dakwaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa pengambilalihan SESB terganggu selepas PN mengambil alih kerajaan persekutuan awal tahun ini.
Untuk rekod, PH memerintah selama 22 bulan.
Rabu lepas, Mohd. Shafie berkata, rundingan itu bermula semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Mohd. Shafie mendakwa, rundingan yang berlangsung pada ketika itu berjalan lancar sehingga berlakunya perubahan kerajaan.
Katanya, beliau diberitahu bahawa Putrajaya memutuskan untuk menangguhkan rancangan pengambilalihan itu.
Kenny berkata lagi, tindakan Mohd. Shafie menyalahkan kerajaan PN, adalah salah.
Kata Kenny lagi, pengambilalihan itu sepatutnya sudah berlaku sekiranya kerajaan negeri Sabah pada ketika itu, mampu mengendalikan rundingan berkenaan dengan baik dan lancar.
Beliau berkata lagi, rundingan masih berjalan sewaktu Mohd. Shafie mengadakan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir.
Sehingga hari ini, isu mengambil alih SESB masih tergantung dan dalam keadaan Sabah bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), apa sebenarnya yang ingin dinyatakan oleh Kenny? Yang tersirat, yang tersurat. – SM