Nasional

Rumah rosak akibat ribut dapat bantuan baiki kerosakan

ALOR GAJAH 24 Feb. – Kejadian ribut yang melanda menyebabkan empat rumah rosak teruk apabila bahagian bumbung tercabut mendapat perhatian daripada kerajaan negeri yang prihatin terhadap nasib mereka.

Dalam kejadian petang Isnin lalu, sebanyak 84 buah rumah di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal rosak akibat ribut tersebut di mana empat daripadanya tidak boleh didiami oleh penghuninya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd. Kalil berkata, empat buah rumah yang rosak teruk dalam kejadian ribut itu akan menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah antara RM10,000
hingga RM15,000.

Menurutnya, surat permohonan telah dihantar ke pejabat Ketua Menteri bagi mendapatkan peruntukan tersebut dengan kadar segera.

Peruntukan itu katanya dimohon bagi membolehkan kerja-kerja membaiki pulih empat rumah tersebut dapat dijalankan segera dan mangsa dapat berpindah semula ke rumah masing-masing.

“Empat keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Belimbing Dalam setelah kediaman mereka tidak boleh diduduki pada hari kejadian.

“Dua daripada keluarga terbabit kita bantu mereka dengan menyewa rumah sementara melalui pembiayaan sewa dibiaya oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sehingga rumah mereka siap dibaiki.

“Manakala dua keluarga lagi kini tinggal sementara dengan sanak-saudara selepas mereka tidak lagi berada di PPS yang ditutup sejak semalam,” ujarnya di sini hari ini.

Zahari berkata, petang semalam, Setiausaha Khas Perhubungan Ketua Menteri, Datuk Ghafar Misdar telah melawat dan meninjau kerosakan empat buah rumah tersebut.

“Insyallah tiada halangan peruntukan daripada kerajaan negeri akan diterima dalam masa terdekat dan empat rumah yang rosak akan segera dibaikpulih,” ujarnya.

Dalam kejadian petang Isnin lalu, sebanyak 84 buah mengalami kerosakan khususnya di bahagian atap rumah ekoran ribut yang melanda dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu.

Mengulas lanjut Zahari berkata, pemilik 80 buah rumah lain telah mengisi borang bantuan bencana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah bagi mendapat peruntukan membaik pulih atap yang mengalami kerosakan kecil.

Beliau berharap PDT Alor Gajah dapat meluluskan segera bantuan yang dipohon bagi membolehkan mangsa ribut dapat membaiki segera atap rumah yang rosak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button