Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) negeri meminta lebih banyak persatuan penduduk di negeri ini untuk memohon Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) berjumlah RM10,000 yang diperuntukan.
Pengarahnya, Nurhafidah Ali berkata, setakat ini hanya 76 persatuan penduduk daripada 100 kuota yang ditetapkan bagi fasa pertama telah diluluskan menerusi peruntukan RM1 juta bagi negeri ini.
Menurutnya, semua persatuan penduduk kini boleh memohon kembali geran tersebut selepas ROS memutuskan untuk melanjutkan tempoh permohonan yang sepatutnya tamat pada hujung bulan ini dilanjutkan sehingga 31 Oktober ini.
“Saya minta lebih banyak lagi persatuan penduduk memohon geran ini kerana kuota 100 persatuan masih belum dipenuhi.
“ROS negeri pula sedia membantu persatuan penduduk yang sah berdaftar sahaja untuk mengemukakan permohonan dengan datang sendiri ke pejabat ROS di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh,” ujarnya di sini hari ini.
Nurhafidah berkata, setakat ini ROS negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM760,000 bagi fasa pertama.
Menurutnya, keputusan untuk melanjutkan tempoh permohonan geran itu bertujuan bagi memberi lebih banyak peluang kepada lebih banyak persatuan penduduk yang layak untuk memohon.
“Selasa lepas sebanyak 52 persatuan penduduk di negeri ini menerima geran RM10,000 selepas permohonan yang dihantar lengkap dan diluluskan oleh ROS,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta mereka dapat memanfaatkan pemberian geran tersebut sebaik mungkin dan digunakan secara berhemah serta mengikut peraturan tanpa melakukan sebarang penyelewengan.
Katanya, geran itu boleh digunakan untuk pembelian peralatan keselamatan dan juga untuk membiayai penganjuran program cegah jenayah, dadah, pembasmian denggi, aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan. – SM