RM1.05 juta duit pesara di Perlis “hangus” terpedaya pelaburan palsu
1.05 juta duit pesara di Perlis “hangus” dek terpedaya dengan pelaburan tidak wujud di sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, sekalipun ia cuma melibatkan 31 sahaja mangsa tetapi jumlah kerugian yang dicatatkan ini dilihat sebagai besar.
Beliau berkata, pelaburan tidak wujud ini didapati berjaya “memancing” golongan pesara yang dipercayai memiliki wang simpanan yang banyak.
Katanya, taktik menawarkan pulangan lumayan dalam masa singkat dilihat berjaya “menjerat” golongan ini.
“Pelaburan tidak wujud ini didapati menggunakan media-media sosial bagi menarik perhatian golongan ini,” katanya kepada media selepas program Gotong Royong Perdana Polis Bersama Masyarakat Perlis di Surau Haji Shaari, Kampung Repoh di Kangar hari ini.
Muhammad berkata, pihaknya memandang serius dengan perkara ini supaya jangan ada lagi yang terjebak.
Sehubungan itu katanya, golongan pesara disaran lebih berwaspada jika mahu melabur.
“Usah mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan terutama yang melibatkan keuntungan dalam masa yang singkat,” katanya.
Katanya, sebaiknya generasi muda yang lebih peka dengan teknologi diminta tampil untuk membantu golongan yang lebih berusia supaya tidak mudah terperangkap dengan pelaburan tidak wujud ini.
Muhammad berkata, pihak polis akan membantu dengan memberi kesedaran kepada masyarakat melalui pelbagai program kemasyarakatan. – SM