Nasionalpilihan

RISDA sedia inisiatif Program Agromakanan atasi kekurangan bekalan makanan

Sejumlah RM20 juta diperuntukan untuk inisiatif tersebut

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar, KPLB menerusi RISDA memperuntukkan sejumlah RM20 juta melalui inisiatif program agromakanan untuk menyokong dan memenuhi dasar agromakanan negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menerusi peruntukan itu, RISDA mensasarkan pengeluaran 600 ribu tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan.

“Tanaman jagung bijian menjadi fokus RISDA pada tahun ini untuk membantu kerajaan mengurangkan pergantungan import makanan ternakan yang mana kerajaan menyasar mengeluarkan 600,000 tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA di ibu negara hari ini.

Datuk Seri Mahdzir Khalid memberikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA di ibu negara hari ini. Foto: Suara Merdeka

Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Tambah Mahdzir, projek tanaman jagung bijian itu sudah dilaksanakan di Perlis sejak Februari lalu melibatkan 750 ribu pokok dengan kawasan penanaman seluas 15 hektar.

Projek dibawah pengurusan RISDA Agro Sdn. Bhd. itu dijangka menghasilkan sebanyak 82,200kilogram jagung bijian yang akan dituai pada bulan Julai depan.

Program Agromakanan RISDA tahun ini membabitkan 1,000 peserta di seluruh negara dengan maksimum bantuan RM20 ribu bagi setiap peserta.

Datuk Seri Mahdzir Khalid memberikan sumbangan kepada golongan asnaf sempena Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA di ibu negara hari ini. Foto: Suara Merdeka

Peserta boleh memilih untuk melaksanakan tiga skop projek iaitu tanaman jangka pendek dan jangka panjang atau aktiviti ternakan.

Projek boleh dimajukan secara berkumpulan melibatkan kerjasama Koperasi Pekebun Kecil dan syarikat di bawah Kumpulan RISDA Holdings.

“Peruntukan itu juga bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka sumber baharu bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan dari sumber getah”, jelas Mahdzir.

Untuk rekod, pada tahun 2020 dan 2021 sahaja, KPLB telah menyalurkan peruntukkan lebih RM23 juta di mana 56 peratus peserta melaksanakan tanaman jangka pendek, 39 peratus aktiviti ternakan dan 5 peratus lagi terlibat dalam penanaman jangka panjang.

Bagi memberikan pulangan yang tinggi kepada peserta dengan melihat kepada permintaan pasaran, penanaman tanaman jangka pendek ketika ini seperti cili, halia, sayuran hijau dan ternakan lembu menjadi fokus utama RISDA dan KPLB.

Kerjasama RISDA bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi seperti Jabatan Pertanian, Veterinar, FAMA, MARDI akan memastikan pelaksanaan program agromakanan RISDA selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030. – SM

Baca artikel ini > KPLB peruntuk RM80 juta untuk Dasar Keselamatan Makanan Negara

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button