Ringgit terus susut berbanding Dolar AS
RINGGIT dibuka rendah berbanding Dolar AS pada Khamis (24 Mac) apabila Dolar AS terus mengukuh di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai keselamatan tenaga di Eropah, kata seorang penganalisis.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2320/2370 berbanding Dolar AS daripada 4.2220/2255 pada penutup Rabu.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan itu timbul apabila kerajaan Rusia menuntut penyelesaian bagi urus niaga gas akan diselesaikan dalam mata wangnya.
“Ini mewujudkan ketidaktentuan lebih lanjut mengenai industri tenaga di Eropah yang telah banyak bergantung kepada Rusia untuk input gasnya. Pengumuman itu membawa kepada peningkatan mendadak terhadap Rubel Rusia,” katanya kepada agensi berita Bernama pagi ini.
Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan sebegitu juga mengakibatkan peningkatan lagi Dolar AS, dengan indeks Dolar AS meningkat 0.13% kepada 98.623 mata.
“Berikutan itu, Ringgit dijangka kekal lemah kerana pelabur tidak pasti bagaimana urus niaga gas di Eropah boleh diselesaikan, dan senario pasaran tenaga di rantau itu,” katanya.
Oleh itu, Afzanizam berkata ringgit boleh kekal lemah sekitar 4.22 hingga 4.23 berbanding Dolar AS pada Khamis.
Pada pembukaan, Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan jatuh berbanding Dolar Singapura kepada 3.1173/1212 daripada 3.1094/1122 pada Rabu dan susut berbanding Pound Britain kepada 5.5862/5928 daripada 5.5849/5895.
Ringgit juga susut berbanding Yen Jepun kepada 3.4987/5031 daripada penutup Rabu pada 3.4893/4924 dan susut nilai berbanding Euro kepada 4.6565/6620 daripada 4.6446/6485. – SM