Ekonomi

Ringgit terus merosot berbanding dolar AS

NILAI ringgit terus merosot dan kekal dalam aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal hari ini berikutan mod penghindaran risiko semasa.

Pada pukul 9.20 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.4475/4500 berbanding dolar AS daripada kadar penutup semalam 4.4460/4500.

Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Afzanizam Rashid berkata, Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat akan dipantau dengan teliti ketika pelabur mencari tanda-tanda jeda dalam kenaikan kadar faedah AS.

“Data perdagangan China, yang mendedahkan bahawa eksport menyederhana kepada 8.5% tahun ke tahun pada April daripada 14.8% pada Mac, menunjukkan bahawa pertumbuhan global akan kekal goyah.

“Pada masa yang sama, pegawai Rizab Persekutuan AS yang hawkish di samping drama siling hutang yang menjulang di Capitol Hill menunjukkan bahawa pasaran akan kekal dikawal dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniaga kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Walaupun ia lebih rendah berbanding pound Britain pada 5.6181/6212 berbanding 5.6126/6177 pada penutup Selasa, ia telah menambah nilai berbanding euro kepada 4.8798/8825 daripada 4.8835/8879 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2910/29 daripada 3.2963/2995 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut kepada 3.3528/3549 berbanding dolar Singapura berbanding 3.3522/3557 pada Selasa dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.7/301.9 daripada 301.6/301.9 semalam.

Mata wang tempatan itu juga susut berbanding baht Thailand kepada 13.2193/2322 daripada 13.1835/2016 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.98/7.99 daripada 7.97/7.98 sebelumnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button