Ekonomi

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin, terjejas berikutan permintaan kukuh terhadap dolar AS dalam persekitaran peningkatan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kata pengarah urusan SPI Asset Management Stephen Innes.

Memetik laporan BERNAMA pada pukul 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2945/2995 berbanding dolar AS 4.2865/2910 ketika ditutup pada Jumaat.

Innes berkata, berikutan data inflasi yang meningkat minggu lepas, hasil bon AS kekal tinggi, dengan pasaran sudah mengambil kira kemungkinan kenaikan kadar 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS.

“Sebaliknya, langkah-langkah rangsangan China baru-baru ini mengecewakan pelabur, mencerminkan kebimbangan yang lebih meluas terhadap ekonomi.

“Pasaran pertukaran asing (forex) kelihatan tidak terkesan dengan perkembangan terkini dan faktor ini telah menyumbang kepada dagangan ringgit yang lebih lemah hari ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas berkaitan pembentangan belanjawan Malaysia akan datang, Innes berkata, jika kerajaan Malaysia mengekalkan disiplin fiskal dan defisit fiskal kekal di bawah 4.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahun depan, ia seharusnya memberi kesan positif pada mata wang itu.

“Peniaga mungkin akan mengalihkan tumpuan mereka kepada belanjawan minggu ini,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button