Ekonomi

Ringgit dibuka rendah berikutan kejatuhan harga minyak dunia

RINGGIT dibuka rendah berbanding Dolar AS pada pagi ini berikutan kejatuhan harga minyak mentah di kesan keputusan Presiden AS Joe Biden mengenai pelepasan rizab minyak mentah yang memecahkan rekod untuk menstabilkan harga, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2100/2140 berbanding Dolar AS daripada 4.2025/2055 pada penutupan petang semalam.

Kerajaan AS dilaporkan telah mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan satu juta tong sehari minyak dari Rizab Petroleum Strategik untuk tempoh enam bulan dalam usaha menurunkan harga bahan api dan meredakan kebimbangan kekurangan selepas konflik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pada masa yang sama, kerajaan Rusia juga menegaskan bahawa bayaran untuk sebarang import gas dari negara itu adalah dalam Rubel atau ia akan memotong bekalan, kata ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada agensi berita Benama.

Pada ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent telah susut 4.88% kepada AS$107.91 (kira-kira RM454.46) setong.

Mohd Afzanizam berkata suku pertama 2022 adalah sangat tidak menentu dan konflik ketenteraan, yang bermula pada 24 Feb, menjadi antara punca kepada ketidaktentuan pasaran.

Sementara itu, pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada hari ini bermakna aktiviti ekonomi mungkin akan lebih rancak pada masa hadapan dan ia akan membantu mempercepatkan permintaan domestik.

Oleh itu, Ringgit sepatutnya kekal tidak bersemangat pada hari Jumaat dan mungkin bergerak dalam julat yang kecil, kata Mohd Afzanizam.

Pada pembukaan, Ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut nilai berbanding Pound Britain kepada 5.5303/5355 daripada 5.5158/5197 pada Khamis dan jatuh berbanding Yen Jepun kepada 3.4477/4513 daripada 3.4472/4502 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding Euro kepada 4.6592/6636 daripada 4.6698/6732 pada penutup Khamis, dan kekal tidak berubah berbanding Dolar Singapura pada 3.1033/1065 daripada 3.1033/1060 sebelumnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button