RHB Islamic perkasa petani asnaf melalui sumbangan jentera pertanian
RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa komuniti petani asnaf di Kedah dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Melalui inisiatif ini, RHB Islamic telah menyalurkan Zakat Wakalah sebanyak RM341,000 untuk pembelian dua unit traktor pertanian serta sebuah jentera pengangkut (forklift) bagi menyokong Projek Pembangunan Ekonomi Ummah (“PPEU”) di Kedah.
Selain itu, RHB Islamic turut menyerahkan pembayaran zakat korporat sebanyak RM650,000 kepada LZNK.
Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan RHB Islamic dalam menyokong inisiatif yang berpotensi meningkatkan taraf hidup masyarakat asnaf, khususnya dalam sektor pertanian.
PPEU adalah salah satu inisiatif di bawah LZNK, selain daripada Projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA). PPEU bertujuan untuk memperkasakan golongan asnaf secara menyeluruh melalui pendekatan pembangunan ekonomi yang mampan, berlandaskan konsep ‘Dari Asnaf Kepada Asnaf’.
Menurut Pengarah Urusan, RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali, Projek Pembangunan Ekonomi Ummah itu seiring dengan dasar agihan Zakat Wakalah RHB Islamic, yang bertujuan
memperkasakan sosio-ekonomi masyarakat asnaf.
“Dengan menyediakan akses kepada teknologi pertanian yang lebih canggih, seperti traktor moden dan forklift, kami yakin petani asnaf akan dapat meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman mereka, seterusnya menjana pendapatan yang lebih stabil.
“RHB Islamic berhasrat untuk terus menjalin kerjasama strategic dengan LZNK dalam memperluas inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti asnaf pada masa akan datang,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman, turut menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan RHB Islamic.
“Kerjasama ini sangat bermakna kerana ia membolehkan kami untuk memperluas inisiatif PPEU ini dan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai petani asnaf. Dengan sumbangan daripada RHB Islamic ini, kami dapat memperkukuhkan usaha dalam mewujudkan kitaran ekonomi yang mampan dalam kalangan mereka, sekali gus membina komuniti yang lebih berdikari dan sejahtera,” katanya.
Pada tahun 2023, RHB Islamic telah menyumbang dua dron pertanian dan sebuah lori tipper di bawah Projek Smart SBBA, yang memberi manfaat kepada 84 petani asnaf di Kedah.
Keterlibatan RHB Islamic dalam inisiatif PPEU pada tahun ini merupakan kesinambungan komitmen mereka untuk memperkasa petani asnaf.
Inisiatif ini dijangka tidak hanya meningkatkan kecekapan operasi kilang LZNK, tetapi juga memudahkan pengurusan bahan, meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko kerosakan, serta menjimatkan kos operasi. Langkah ini diharap dapat memberikan impak positif kepada komuniti petani asnaf dan menyokong usaha LZNK dalam memajukan mereka serta mempromosikan pembangunan yang mampan.
Sebagai sebahagian daripada majlis penyerahan, RHB Islamic dan LZNK turut meluangkan masa mengunjungi lima keluarga asnaf yang tinggal di kawasan persawahan serta menyerahkan sumbangan zakat secara terus kepada mereka.
Kerjasama strategik ini adalah sebahagian daripada pendekatan RHB Islamic dalam menyokong inisiatif pengantaraan berasaskan nilai (“Value Based Intermediation – VBI”) yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia, yang bertujuan menggalakkan penggunaan modal sosial Islam bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf dalam masyarakat B40.
Dengan usaha ini, RHB Islamic dan LZNK berharap dapat memberikan impak positif yang lebih besar kepada masyarakat asnaf di Kedah serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang inklusif. – SM