Ekonomi

RHB Islamic bantu usahawan asnaf

RHB Islamic Bank Berhad memperuntukkan RM46,720 melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk melengkapkan sebuah pusat bagi memperkasakan beberapa orang usahawan B40 dan asnaf terpilih dalam industri pembaikan gajet di negeri Perlis.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor sambil disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Negeri Arau baru-baru ini.

Program ini dijalankan nelalui anak syarikat MAIPs, iaitu Akademi Transformasi Asnaf MAIPS (ATAM) untuk menyokong projek keusahawanan melibatkan golongan B40 dan komuniti asnaf terpilih di negeri ini.

ATAM dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Baikpulih Telefon Pintar di Kangar yang berfungsi sebagai ruang kerja khusus untuk para usahawan asnaf yang menceburi perniagaan pembaikan gajet. Pihak ATAM akan memainkan peranan bagi penyediaan kemahiran dan peralatan penting untuk menjayakan pusat ini kelak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyaksikan pemeteraian perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kolej Komuniti Arau Perlis dan ATAM untuk melaksanakan Projek Pembangunan Ekonomi B40 dan Asnaf tersebut. Kerjasama yang berkesan ini akan memanfaatkan Pusat Transformasi Asnaf sedia ada yang disumbangkan oleh RHB Islamic yang menawarkan peluang -peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada komuniti B40 dan asnaf.

Sehingga kini, lebih 150 peserta dari golongan asnaf telah mendapat manfaat daripada ketiga-tiga pusat ini iaitu pengetahuan yang berharga dalam bidang seperti keusahawanan, kemahiran masakan dan perkhidmatan jahitan. Pusat ini juga telah memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan untuk isi rumah masing-masing. Sebagai bukti kejayaan ini, The Curry-Puff Centre mampu menghasilkan 16,000 keping setiap minggu, menjana jualan lebih RM12,000 dan keuntungan sehingga RM3,000 sebulan.

“Kerjasama berterusan kami dengan MAIPs adalah bukti komitmen RHB Islamic ‘Making Progress Happen for Everyone!’ yang menyumbangkan zakat untuk memperkasakan komuniti asnaf dan meningkatkan taraf kehidupan mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” kata Datuk Adissadikin.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button