Rezeki Tahun Baharu Cina
26 Januari 2020:
HARI ini masih dalam suasana cuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Semalam, ramai kawan AG tersenyum. Senyum sebab ‘masyuk’.
Pendapatan pemandu-pemandu Grab macam AG sehari dua ini naik mendadak. Alhamdulillah 😁 rezeki Allah bagi. Dapatlah nak belanja lebih sikit.
Memang biasa kalau cuti umum, tambang jadi tinggi daripada biasa. Jalan raya pula lengang. Banyak kereta yang hari-hari tersangkut dalam jem sekitar Lembah Klang dah ke Melaka, Johor, Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu dan utara.
Pemanduan yang lancar membolehkan kami menerima lebih banyak trip bawa penumpang.
Ada rakan AG dapat RM800 sehari. Gila tak gilanya. Entah macam mana la dia bawa kereta.
AG? Bertambah juga sekali ganda, tapi masih tak mencapai angka rakan AG tadi. 😂😂😂.
Cuma yang sedihnya ialah kami tak dapat bercuti dengan keluarga macam orang lain. Peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Tak apa lah, nanti kita ambil cuti sendiri. Sebenarnya banyak kelebihan bercuti masa orang lain sibuk bekerja ini. Lebuh raya tak sesak, hotel kosong, selain kita yang jadi pelanggan, akan dilayan dengan penuh kasih sayang oleh tauke kedai.
Kalau pelanggan penuh, tak ada harapan la nak dapat harga kasih sayang, disembelih lagi ada.
Ohhh..hampir terlupa. Tadi jumpa barang masa kemas-kemas bahagian tempat duduk belakang.
Dah tentulah barang penumpang. Puas juga AG perah kepala otak nak kesan pemiliknya. Fikir punya fikir, AG tahu penumpang mana yang punya. Maklumlah ada suka duduk depan, ada juga yang lebih selesa berada di belakang.
AG pun telefon bahagian perkhidmatan Grab nak maklumkan. Memang kami diingatkan supaya tidak menyimpan barang-barang penumpang. Dah bukan barang kita, buat apa kita nak simpan.
Grab kemudian beri nombor telefon penumpang dikenal pasti tadi, seorang pemuda Cina. Yang membuatkan AG mudah ingat pada dia sebab tertarik dengan tutur katanya – sopan dan lunak.
Pada awalnya, dia minta AG poskan saja. Tapi kemudian berubah fikiran, mahu dihantarkan ke lapangan terbang, tempat dia berada ketika itu.
Jarak rumah AG dan lapangan terbang tu tak jauh mana pun. Adalah dalam 15 minit berkereta.
Nampak sahaja AG dia tersenyum. Selepas barang bertukar tangan, dia minta maaf sebab ‘menyusahkan’ AG. AG balas senyuman dia.
Tiba-tiba dia hulurkan sekeping not, AG tergamam. Eh, banyak ni, tak perlu la, kata AG.
Tak apa kak, ambil la, hari ini Tahun Baharu Cina, ini untuk akak. Akak mesti ambil, katanya lagi agak memaksa sambil menambah, kalau AG tak pulangkan, dia kena beli baharu sebagai ganti.
Lantas fikiran AG terbayang beberapa ekor kucing jalanan yang ketika keluar rumah tadi, AG ada kata nak belikan mereka ayam goreng!