Sukan

Rezeki menang undi, KJ kini Naib Presiden PKBM

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terus mendapat perhatian dalam arena sukan tanah air apabila beliau dilantik sebagai Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), hari ini.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dipilih sebagai Naib Presiden 5 apabila meraih meraih 33 undi manakala Datuk Amarjit Singh diangkat Naib Presiden 1 dengan meraih 71 undi.

“Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak, maknanya saya kalah semua pertandingan,” kata Khairy yang sebelum ini tewas di ‘gelanggang’ Pilihan Raya Umum ke-15 di Sungai Buloh, November tahun lalu.

Sementara itu, Datuk Abu Samah Abd Wahab kekal menjawat jawatan Presiden PKBM buat penggal kesembilan berturut-turut.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), terus kekal memimpin badan induk berkenaan selepas menang tanpa bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM bagi penggal 2023-2026 yang diadakan di Melaka, semalam.

Selain itu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), melakar kejutan besar apabila meraih hampir 100 peratus undi dengan meraih 71 daripada 72 undi untuk jawatan Naib Presiden 1.

“Saya terharu dengan sokongan daripada perwakilan negeri. Ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal. Pada waktu yang sama, saya akan menjaga kepentingan UCI dan ACC dengan baik,” katanya.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, pertandingan menyaksikan kejutan terbesar apabila penyandang jawatan, Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan gagal mempertahankan jawatannya apabila hanya memperoleh 26 undi berbanding 45 yang diraih Mazlan Md Jail.

Mazlan mengaku sangat terkejut dengan keputusan berkenaan namun bersedia memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden dan berjanji memberikan sumbangan terbaik bagi mengekalkan martabat Malaysia sebagai antara kuasa berbasikal terbesar di Asia.

“Saya sangat terkejut. Namun, saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah kepada diri saya. Saya berjanji akan bekerjasama erat membantu Presiden PKBM (Datuk Abu Samah Abd Wahab),” katanya.

Mohd Shaiful Abd Jalil daripada Putrajaya turut melakar kejayaan apabila muncul Naib Presiden 2 dengan 54 undi manakala calon Kedah, Dr Zaim Ahmad menjadi Naib Presiden 3 apabila memungut 46 undi disusuli wakil Melaka, Norazman Abu Samah yang meraih 42 undi dan Khairy Jamaluddin melengkapkan kouta pemilihan dengan keputusan 33 undi.

Sementara itu, Presiden PKBM, Abu Samah dalam ucapan pembukaan mengharapkan semua pelumba khususnya jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan meneruskan kecemerlangan di Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti.

Sebagai permulaan, beliau berharap Kejohanan Lumba Basikal Asia (Trek) 2023 (ACC 2023) yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan akan menjadi medan terbaik untuk Azizul menyerlahkan kehebatannya sekali gus meraih lebih banyak mata kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Pada masa yang sama, Abu Samah menjelaskan PKBM akan menganjurkan 76 kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk Jelajah Malaysia, Le Tour de Langkawi, Tour of Femina dan Tour of Peninsula.

Jawatankuasa Tertinggi PKBM penggal 2023-2026

Presiden: Datuk Abu Samah Abd Wahab (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden: Mazlan Md Jail – 45 undi

Naib Presiden 1: Datuk Amarjit Singh – 71 undi

Naib Presiden 2: Mohd Saiful Abd Jalil – 54 undi

Naib Presiden 3: Dr Zaim Ahmad – 46 undi

Naib Presiden 4: Norazman Abu Samah – 42 undi

Naib Presiden 5: Khairy Jamaluddin 33 – undi

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button