Vokalis kumpulan Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd. Zain Ramli, 55, mengumumkan dia ingin kembali ke persada muzik tempatan selepas 22 tahun menyepikan diri.
Penyanyi lagu Niat Hati Tak Nak Berpisah bersama keluarganya nekad memilih untuk berhijrah ke Melaka dari Pasir Putih, Kelantan sejak empat bulan lalu.
Renggo ketika ditemui menjelaskan, Melaka menjadi
destinasi untuknya kembali bangkit di persada muzik negara selepas kali terakhir merakamkan album ke-13 bersama kumpulan Arrow pada 2002.
“Saya terpaksa ambil keputusan tinggalkan Kelantan kerana saya melihat karier saya mungkin akan berkubur. Perniagaan roti canai yang saya usahakan juga tidak menjadi.
“Setelah berbincang dengan isteri dan anak-anak, saya buat keputusan berhijrah ke Melaka dan saya lihat peluang untuk saya bangkit semula adalah cerah.
“Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) saya akan gunakan peluang ini untuk menerima sebarang jemputan menyanyi dalam apa majlis sekalipun,” ujarnya yang menduduki tempat kedua pertandingan program Kilauan Emas musim keempat.
Dalam mengintai peluang di negeri ini, Renggo begitu yakin untuk dia kembali aktif menyanyi sepenuh masa dan merancang untuk mengadakan konsert solonya bersama kumpulan Arrow tidak lama lagi.
Dia yang kini menetap di Tanjung Minyak berkata, pelbagai aktiviti yang diatur sempena TMM2024 adalah peluang terbaiknya untuk menonjolkan dirinya kembali menempa nama yang pernah menjulang dirinya sekitar tahun 1990-an.
Kata vokalis yang popular dengan lagu Aku Tak Marah itu, keadaan kesihatannya kini semakin pulih mengalami masalah jantung bengkak dan kerap keluar masuk hospital tahun lalu.
“Tahun lalu saya ada masalah jantung bengkak dan kerap keluar masuk hospital tetapi kini kesihatan saya semakin pulih serta bersedia untuk kembali menyanyi semula,” ujarnya.
Dalam pada itu dia turut mengucapkan terima terima kasih kepada Persatuan Karyawan Malaysia Melaka menerusi Pengerusinya, Datuk Zainal Abu Bakar yang banyak membantunya mencari tapak baharu di Melaka.
Renggo adalah salah seorang pengasas kumpulan Arrow yang ditubuhkan pada 16 Julai 1992 pernah popular sekitar tahun 90-an dengan lagu-lagu jiwang antaranya Aku Tak Marah, Sendu Di Hatimu Rindu Di Jiwaku dan Niat Hati Tak Nak Berpisah. – SM