Remaja digalakkan berdaftar dengan Askar Wataniah
ARAU 1 Jan. – Golongan remaja yang sihat tubuh badan dan memenuhi semua keperluan minimum yang ditetapkan dialu-alukan untuk mendaftarkan diri sebagai anggota sukarela dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) Tentera Darat Malaysia (TDM).
Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima mengadap mengenai Eks PERBAH oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menerangkan bahawa ancaman perang pada masa kini semakin berubah-ubah, sukar dijangka dan melibatkan pelbagai dimensi serta yang terkini iaitu taktik zon kelabu (grey zone tactics) dan termasuklah konflik antara negara seperti yang sedang berlaku di Eropah dan Timur Tengah. Ancaman ini dijangka bersifat dinamik, kompleks, sukar difahami dan penuh kekeliruan yang memerlukan persediaan yang rapi dan menyeluruh dari semua sudut.
Baginda mengulangi ucapan Timbalan Panglima Tentera Darat pada Sidang Komander Askar Wataniah baru-baru ini bahawa kebanyakan negara termasuklah negara maju mengalami kesukaran untuk memberi tumpuan sepenuhnya hanya kepada pembangunan keupayaan dan kesiagaan angkatan tentera dalam menghadapi pelbagai ancaman. Kos yang sangat tinggi bagi membiayai angkatan tentera merupakan antara penyebab ketidakseimbangan dalam perbelanjaan sesebuah negara yang perlu memberi tumpuan dan perhatian kepada aspek pembangunan ekonomi yang mampan, ketahanan sosial, kesejahteraan dan kehidupan sosio-ekonomi rakyat.
Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang bertujuan untuk mewujudkan angkatan tentera yang cekap, bersepadu dan terarah serta menggabungkan angkatan tetap dan sukarela di samping melibatkan elemen “Whole Government Whole of Society” (WOGOS) dalam usaha memastikan tahap kesiapsiagaan dan kesiapan yang berterusan berlandaskan kriteria Kebersamaan, Kebolehoperasian, Berorientasikan Misi, Berasaskan Teknologi, Keupayaan Beroperasi Serentak di Dua Wilayah dan Kecekapan Logistik Yang Mampan’.
Dalam pada itu, Leftenan Kolonel Lasahi menjemput semua di negeri Perlis yang berminat dan memiliki syarat kelayakan seperti; Warga negara Malaysia, Terbuka kepada lelaki dan wanita, Berumur 18 hingga 45 tahun, Sihat Tubuh Badan, Lulus Tapisan Keselamatan DKM serta
Kelulusan minima PMR atau PT3 untuk segera datang ke Kem Bukit Keteri untuk mendaftarkan diri.