MahkamahNasionalNegeri

Remaja 15 tahun mengaku bersalah rogol adik kandung hingga melahirkan anak

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu atas tuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak.

Tertuduh membuat pengakuan bagi dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Norshazwani Ishak secara tertutup.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Palong antara 21 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022 sekitar pukul 11 malam hingga 12 tengah malam, yang perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengan mangsa.

Bagi pertuduhan kedua, remaja tersebut melakukan perkara sama pada 1 September 2022 hingga 10 September 2022, sekitar 11 malam hingga 12 tengah malam bersama mangsa yang sama di lokasi yang sama.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Muhammad Nizam Rafii manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Remaja itu juga perlu tinggal berasingan dengan mangsa dan dilarang menghubungi dan mendekati mangsa.

Mahkamah turut menetapkan Tarikh sebutan semula kes pada 22 Mac bagi laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut fakta kes, pada 16 Februari lalu, sekitar pukul 6.08 pagi, pengadu yang merupakan seorang doktor dan petugas Klinik Kesihatan memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun bersalin di sebuah rumah di Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan.

Pegawai perubatan pergi ke rumah tersebut dan mendapati mangsa berada di atas katil di ruang tamu bersama seorang bayi lelaki yang cukup sifat dalam keadaan uri masih bersambung.

Mangsa dan bayi kemudiannya dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk tindakan lanjut. – FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button