Hiburan

Reena Nicky tampil single terbaharu, Riak

Kolaborasi Matilda Radge-Boy Radge selepas Ewah!

REENA NICKY masih relevan dalam industri seni suara tanah air biarpun agak lama beliau tidak tampil dengan single untuk halwa telinga peminat.

Sebagai penyanyi Melayu wanita pertama di Malaysia yang pernah melahirkan single dalam Bahasa Tamil ciptaan pasangan suami isteri, Matilda Radge dan Boy Radge berjudul Ewah! sekitar tahun 2016, Reena juga pernah merangkul Anugerah Industri Muzik (AIM) kategori Pop Ethnik Terbaik tahun 2017.

Album pertama berjudul Magika terus memperkenalkan Reena di arena hiburan walaupun nama beliau sinonim dengan lagu berjudul Gadis Kelate.

Hari ini, kolaborasi Matilda, Boy Radge dan Reena diteruskan dengan kelahiran single terbaharu berjudul Riak.

Matilda bertindak sebagai komposer dan penulis lirik manakala Boy Radge bertanggungjawab sepenuhnya dalam susunan muzik.

“Saya akui agak lama menyepi kerana sibuk dengan urusan sebagai isteri dan ibu. Sepanjang saya ‘menghilang’ sebentar, saya banyak berulang alik Malaysia-China mengikut suami yang menjalankan perniagaan di negara tembok besar itu.

“Kemudian kita semua dilanda pandemik Covid-19 maka segala perancangan yang dibuat oleh suami dan juga merupakan Pengurus, tergendala. Sekarang saya kembali dengan buah tangan terbaharu untuk peminat, Riak.

“Walaupun kaedah atau pendekatan untuk mempromosikan single terbaharu ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum Covid-19, saya berharap Riak diterima dan diberikan sambutan,” katanya kepada SUARA MERDEKA.

Genre Riak, ujar Reena ialah pop etnik kreatif dan apabila mendengar komposisi lagunya, ada pengaruh irama padang pasir.

Apa yang menarik dengan susunan lagu Riak, pada hemat wartawan SUARA MERDEKA, ia disajikan dengan irama yang rancak dan disulami dengan lirik penceritaan yang menarik.

Dalam erti kata lain, Riak adalah sebuah single yang rancak dan menghiburkan bagi anda yang berjiwa terbuka, bukan jumud dan hanya mendengar satu genre sahaja.

Kata Reena lagi, walaupun beliau bukanlah penyanyi baharu tetapi dirinya tetap mahu membaiki mana-mana ruang kekurangan yang ada sejajar dengan kehendak pendengar dan penggemar muzik masa kini.

“Semua penggiat seni atau artis mahu terus kekal dalam pasaran dan jarak menyepi antara tiga ke lima tahun yang lalu bukanlah tanpa perancangan untuk karier seni saya.

“Dalam tempoh lima tahun ke belakang, saya berhadapan dengan pelbagai cabaran yang berat termasuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PK) yang menghalang kita daripada keluar.

“Saya perlu masuk studio untuk membuat rakaman dan tempoh PKP yang kita semua lalui dahulu, adalah satu tempoh yang panjang.

“Apabila terhasilnya Riak, alhamdulillah. Saya berpuas hati dan bersyukur kerana single ini adalah portfolio saya, Reena Nicky sebagai penyanyi wanita Malaysia,” jelas beliau.

Tidak semestinya fasih berbahasa Tamil baharulah sebutan apabila menyanyikan lagu Tamil itu betul dan ini telah dibuktikan oleh Reena yang bukan sahaja mempunyai lagu dalam Bahasa Tamil tetapi dalam Bahasa Urdu dan Punjabi.

Janganlah berasa hairan selepas Riak dalam pasaran, Reena akan tampil dengan lagu Hindi pula.

‘Saya meletakkan sandaran single Riak ini dapat tercalon dalam AIM. Manis jika lagu tercalon dan kalau menang, ia satu bonus bagi saya dan komposer dan penulis lirinya,” katanya.

Untuk rekod, Riak adalah kolaborai ketiga di antara Reena-Matilda-Boy Radge. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button