Negeri

Rebut geran MDG untuk pasaran luar negara

MELAKA 14 Feb. – Syarikat atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalak untuk merebut peluang mendapatkan Geran Pembangunan Pasaran (MDG) yang disediakan oleh Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Timbalan Menteri Perdagangan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, melalui kemudahan geran tersebut syarikat dan PKS dapat memasarkan produk mereka ke luar negara.

Menurutnya, syarikat pembuatan bot dan kapal milik pengusaha tempatan seperti Kumpulan Seafarer Explorer Sdn. Bhd. juga boleh menggunakan geran tersebut jika ingin melihat produk mereka berada dalam pasaran luar.

“Melalui geran MDG yang disediakan semua produk syarikat atau PKS akan dibawa untuk menyertai pameran antarabangsa dan ke luar negara.

“Peluang ini harus direbut oleh mereka bukan sahaja untuk memperkembangkan tetapi juga untuk melariskan produk ke pasaran luar negara.

“Tidak terkecuali syarikat pembuatan bot dan kapal yang saya lihat pasaran mereka banyak di peringkat domestik dan mengapa tidak menggunakan geran MDG untuk di pasarkan pula ke luar negara,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Kilang Explorer Composite Sdn. Bhd. yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Pulau Gadong di sini.

Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang turut menasihatkan syarikat terlibat untuk mengambil geran yang disediakan itu kerana usaha kerajaan melalui MITI adalah untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut beliau berkata, syarikat Seafarer Explorer perlu memperkembangkan produk bot dan kapal ke pasaran luar negara dan bukannya semata-mata bagi pasaran domestik.

“Saya bangga melihat bot dan kapal yang dibina menggunakan tenaga tempatan di negeri ini cukup berkualiti daripada pembuatan bot untuk industri perikanan, pengangkutan dan logistik ada pula bot mewah yang sesuai untuk pasaran luar negara,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap syarikat tersebut perlu merebut peluang geran MDG yang disediakan untuk mereka menyertai pameran antarabangsa tidak lama lagi.

Antara produk Seafarer Explorer yang terkenal dengan pembuatan bot mewah seperti Voyager, Wave Ryder, Catamaran Flybridge, Catamaran dan E320 T-Top.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button