Jika berpeluang berkunjung ke Vietnam tidak sah jika tidak menjamah makanan tradisi Vietnam Roll atau popia Vietnam.
Walaupun bentuknya seperti popia biasa tetapi sangat berbeza dari segi rasa, rupa dan bahan yang digunakan.
Makanan tradisi Vietnam itu kini menjadi semakin popular di Malaysia kerana intinya dari isi udang, sayur-sayuran herba segar serta digulung dengan kulit dibuat dari tepung beras dan dimakan dengan sos pencicah.
Bagi penduduk di negeri ini untuk merasai Vietnam Roll tidak perlu pergi ke negara itu sebaliknya berkunjung ke Safinah Saigon Cafe yang terletak di Limbongan, Kota Laksamana dekat sini menawarkan makanan itu.
Pemiliknya, Safinah Mohamad, 41, berkata, Vietnam Roll yang dijual
di cafenya sangat unik kerana pelanggan perlu meletakkan inti serta menggulungnya sendiri.
“Saya buat cara ini bagi memberi keunikan kepada pelanggan mengadunkan sendiri bahan-bahan yang disediakan untuk menghasilkan Vietnam Roll.
“Inti yang saya sediakan adalah sayur organik dan ulam-ulaman seperti daun kaduk, daun ketumbar jawa, daun selasih selain timun, taugeh, ayam, isi udang dan daging.
“Kulit Vietnam Roll saya buat menggunakan tepung beras. Bagi pelanggan yang ingin menikmatinya, saya akan ajar cara menggulung,” ujarnya ketika ditemui di sini.
Safinah berketurunan Melayu Champa yang dilahirkan di bandar Ho Chi Minh berkata, makanan itu dijual pada harga RM8 bagi enam gulung.
Katanya, selain makanan tradisi itu, cafenya turut menyediakan kopi asli dari Vietnam kerana ia adalah antara sajian yang paling mendapat perhatian daripada pelanggannya.
“Saya mengekalkan cara kopi Vietnam disediakan sebelum diminum seperti diamalkan di negara asal saya,” ujarnya.
Katanya, satu filter penapis berupa seperti tudung akan menapis serpihan biji kopi dan memakan masa sehingga tiga minit sebelum kopi Vietnam dapat diminum.
Ujarnya, minuman itu ditawarkan pada harga RM6.50 secawan jauh lebih murah berbanding dua lagi restoran yang terdapat di bandar Melaka.
Katanya, selain itu cafenya turut menyediakan makanan sajian asli rakyat Vietnam seperti kuih habak, satay daun kaduk, itik lemak pedas, pelbagai nasi goreng, kopi ais telur, kopi telur panas dan kopi cappuccino telur panas. – SM