Rantaian bekalan global sedang beralih ke Asean – Tengku Zafrul
MENYOKONG Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia adalah penting kerana rantaian bekalan global sedang beralih ke negara Asean.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Asean adalah China baharu yang bakal menjadi kilang dunia.
Beliau berkongsi bahawa 10 negara yang terdiri daripada Asean sudah pun menjadi rumah kepada lebih 678 juta orang, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$3.7 trilion (RM17.4 trilion) tahun lepas.
Sebagai satu blok, Tengku Zafrul menyatakan bahawa ekonomi Asean adalah yang kelima terbesar di dunia, dengan kelas pertengahan kira-kira 350 juta, mewakili AS$300 bilion (RM1.41 trilion) pendapatan boleh guna.
Menteri itu berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyediakan bantuan kewangan melalui skim Pembiayaan Peluang Kedua (2CF) MIDF.
Tengku Zafrul menambah, kerajaan mengakui pengaruh besar faktor luaran ke atas perniagaan dan mengiktiraf syarikat yang diurus dengan baik pun boleh mengalami kemunduran daripada keadaan di luar kawalan mereka, terutamanya dalam landskap ekonomi yang sentiasa berkembang.
“Perubahan mendadak dalam keadaan pasaran, gangguan yang tidak diduga boleh mendorong syarikat ke ambang kegagalan,” katanya .
Tengku Zafrul berkata bahawa menyediakan syarikat-syarikat ini dengan talian hayat kewangan yang menyokong pemulihan perniagaan mereka adalah penting dalam memastikan rantaian bekalan kekal utuh, yang seterusnya, penting kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
“Untuk itu, kerjasama MIDF-AKPK adalah ekosistem pemulihan holistik yang penting dari segi menyokong syarikat yang menghadapi masalah, khususnya PKS,” katanya. -SM
Baca :