Rangka tuan dan hamba ditemukan dari abu 2,000 tahun di Pompeii
TINGGALAN rangka dari apa yang dipercayai seorang lelaki kaya dan hamba lelakinya yang cuba melepaskan diri dari kematian akibat letusan Gunung Vesuvius hampir 2,000 tahun yang lalu telah ditemui di Pompeii
Sebahagian tengkorak dan tulang kedua-dua lelaki itu ditemui semasa penggalian runtuhan sebuah vila yang elegan dengan pemandangan panorama Laut Mediterranean di pinggir kota Rom kuno. Vila itu dihancurkan oleh letusan gunung berapi pada tahun 79 Masihi.
Para pegawai di taman arkeologi di Itali mengatakan bahawa lelaki-lelaki itu jelas terlepas daripada azab abu panas yang meletus keluar dari Gunung Vesuvius. Namun mereka kemudian tewas akibat letupan gunung berapi yang kuat yang berlaku pada keesokan harinya.
Letupan itu kemudiannya menguburkan mangsa di jawasan itu,” kata pegawai arkeologi Pompeii dalam satu kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa, yang terletak bersebelahan antara satu sama lain ditemui di lapisan abu sedalam 6.5 kaki.
Seperti yang telah dilakukan terhadap rangka mayat lain yang telah ditemui di beberapa lokasi di Pompeii, ahli arkeologi menuangkan kapur cair ke dalam rongga, atau kekosongan, yang ditinggalkan oleh mayat yang membusuk akibat abu dan batu apung panas yang turun dari gunung berapi.
Teknik ini, yang dipelopori pada tahun 1800-an, membuat tinggalan mayat “kelihatan seperti patung,” kata Massimo Osanna, seorang ahli arkeologi yang merupakan pengarah urusan taman arkeologi yang dikendalikan di bawah bidang kuasa Kementerian Kebudayaan Itali.
Kajian ke atas tulang dan gigi kranial salah seorang lelaki itu menunjukan dia masih muda dan berkemungkinan berusia 18 hingga 25 tahun. Dia mempunyai ruang tulang belakang dengan cakera yang mampat. Penemuan itu menyebabkan ahli arkeologi membuat hipotesis bahawa dia adalah seorang pemuda yang melakukan kerja kasar seorang hamba.
Lelaki lain mempunyai struktur tulang yang kuat, terutama di bahagian dadanya, dan mati dengan tangan di dada dan kakinya bengkok dan mengangkang. Dia dianggarkan berusia 30 hingga 40 tahun, kata pegawai Pompeii. Serpihan cat putih yang ditemui di kawasan muka lelaki itu, mungkin sisa-sisa tembok yang runtuh.
Kedua-dua kerangka itu ditemukan di ruang koridor bawah tanah, atau lorong, yang dikenali pada zaman Rom kuno sebagai cryptoporticus iaitu ruang menuju ke tingkat atas vila.
“Mangsa mungkin mencari tempat perlindungan di cryptoporticus, di ruang bawah tanah ini, di mana mereka fikir mereka dilindungi dengan lebih baik,” kata Osanna.
Sebaliknya, pada pagi 25 Oktober 79 Masehi, “awan yang menyala (dari bahan gunung berapi) tiba di Pompeii dan … membunuh siapa saja yang ditemuinya dalam perjalanan,” kata Osanna.-SM