Nasional

Rangka manusia purba dari Gua Kepah P. Pinang akan dibawa pulang dari Belanda

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal membawa pulang khazanah warisan negara yang tersimpan di Belanda iaitu bahagian-bahagian daripada rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Satu majlis simbolik membuka kotak yang mengandungi rangka-rangka berkenaan telah diadakan pada 22 Mac 2023 di Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, The Hague, Belanda.

Majlis ini telah dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Nadzirah Osman dan delegasi dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy.

Pihak Kerajaan Belanda pula diwakili pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pelajaran,
Kebudayaan dan Sains serta Kementerian Luar Negeri Belanda.

Turut diadakan adalah penyerahan surat persetujuan Kerajaan Belanda untuk mengembalikan bahagian-
bahagian rangka tersebut kepada Kerajaan Malaysia yang telah disampaikan kepada Nadzirah oleh Gerbert Kunst, Pengarah Dasar Antarabangsa, Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda.

Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936.

Kesemua jumpaan arkeologi di tapak tersebut telah dihantar ke luar negara termasuk 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity Centre (NBC), Leiden, Belanda. Kini rangka-rangka berkenaan telah diambil alih oleh Kerajaan Belanda dan disimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL) di Amersfoort, Belanda.

Usaha untuk mengembalikan rangka-rangka ini telah diselaraskan oleh pihak Jabatan Warisan Negara setelah menerima permohonan rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sesi mesyuarat dan perbincangan di antara pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MOTAC, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah dilaksanakan.

Susulan itu, pihak Kementerian Luar Negeri telah mengutus Nota Diplomatik pada Ogos 2022 kepada pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia bagi menyampaikan hasrat untuk memohon membawa pulang 41 rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah dari NBC.

Ini disusuli dengan satu sesi mesyuarat dengan pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia pada 29 Ogos 2022.

Sejurus selepas mesyuarat dengan pihak Kedutaan Besar Belanda di Malaysia, pihak Kerajaan Belanda di bawah Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains telah memulakan proses perundangan untuk memulangkan rangka-rangka berkenaan kepada Kerajaan Malaysia.

Pemulangan artifak dan jumpaan-jumpaan luar yang kini berada di Belanda adalah selaras dengan dasar Kerajaan Belanda menyerahkan semula artifak dan jumpaan kepada negara asal tertakluk kepada penilaian dan syarat yang ditetapkan negara tersebut.

MOTAC ingin merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan Belanda atas persetujuan untuk memulangkan rangka-rangka Tapak Arkeologi Guar Kepah kepada Malaysia. Kementerian amat kagum dengan kepantasan proses ini dan memuji keputusan yang diambil oleh Kerajaan Belanda untuk memulangkan objek yang mempunyai nilai warisan kepada negara asal.

Diharapkan usaha ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua buah negara terutama dalam
bidang seni, budaya dan warisan. Penghargaan turut dirakamkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Belanda atas segala kerjasama yang diberikan dalam usaha mengembalikan khazanah warisan negara ke tanah air.

Rangka-rangka ini dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2024 untuk disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang sedang dibangunkan.

Dengan kembalinya rangka-rangka ke tapak asal ia dijumpai, galeri dan tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara selain menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi mengenai salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai.

Ini juga akan membuka ruang untuk penyelidikan lanjut ke atas rangka-rangka dan tapak prasejarah Guar Kepah. Diharapkan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah akan menjadi produk pelancongan yang mesti dilawati  sempena Tahun Melawat Malaysia 2025. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button