Nasional

Ramasamy persoal 29 tahanan kes tembak di Banting tidak didakwa

AHLI Dewan Undangan Negeri DAP P. Ramasamy mempersoalkan mengapa 29 individu yang disyaki terbabit kes tembakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting masih tidak didakwa.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sekiranya polis mempunyai bukti mengenai jenayah yang dilakukan maka mereka yang terlibat mesti didakwa dengan segera.

 

“Tentunya tidak memerlukan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk mendakwa.

“Mengapa ada keperluan untuk mereka merana di pusat tahanan polis tanpa prospek pembebasan awal jika mereka tidak melakukan jenayah sejak dari awal,” persoal ADUN Perai itu.

Ramasamy meminta pihak polis untuk menjelaskan mengapa kesemua merekabelum dibebaskan sekiranya tidak ada bukti yang mengaitkannya dengan kes penembakan tersebut.

Katanya, dengan adanya pandemi Covid-19, polis harus berhati-hati dalam menahan tahanan kerana pusat-pusat tersebut mungkin menjadi tempat pembiakan wabak berkenaan.

Pada 5 November lalu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis sudah menahan 29 individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan gengster serta jenayah terancang susulah kes tembakan di hadapan SMK Telok Datok pada 25 September lalu.

Kesemua mereka ditahan menerusi Ops Blackjack baru-baru ini.

Datuk Fadzil Ahmat

Fadzil berkata, JSJ Selangor dan JSJ Bukit Aman melaksanakan operasi itu secara besar-besaran selepas kejadian tembak dan langgar pelajar di hadapan sekolah berkenaan.

Siasatan susulan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Fadzil berkata, kertas siasatan sudah pun dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 27 Oktober lalu untuk menilai dan mengkaji bagi melaksanakan pertuduhan ke atas semua suspek.

“Polis berharap kejayaan menuduh suspek ini akan dapat mengekang, seterusnya menghapuskan aktiviti berunsurkan gengsterism dan jenayah terancang sekitar Banting, Kuala Langat dan Selangor keseluruhannya,” kata Fadzil dalam satu kenyataan.

Pada 25 September lalu, media melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan sekolah itu pada tengah hari.

Dua lelaki terbabit dipercayai ditembak dua individu yang menaiki sebuah motosikal. Mangsa yang cedera terkena tembakan itu adalah seorang pengawal peribadi dan majikannya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button