Ramai menanti tindakan SPRM terhadap Zahid – Pas
NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ramai yang menanti apakah tindakan SPRM terhadap ucapan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Trengganu yang jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara. Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi BN/PH jelas satu rasuah menjelang pilihanraya negeri.
Katanya, walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai platform media sosial di atas ucapan tersebut, nampaknya SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan jauh beza dengan kenyataan segera terhadap tindakan pihak pembangkang. Sehingga menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang membuang undi, dengan tiada sebarang syarat samada mengundi sesiapa yang mereka suka , dianggap satu kesalahan rasuah.
“Hal yang sama dirasai rakyat bila BERSIH yang satu masa lantang memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil turut sepi bilamana parti pemerintah melakukan kesalahan, namun lantang memgeklarkan kenyataan membantah, kalau hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang.
“BERSIH kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan, kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH. Perjuangan untu melakukan reformasi sistem pilihanraya Malaysia semakin sepi bilamana beberapa orang tokoh mereka menyertai PH dalam pilihanraya dan tidak lagi dilihat adil terhadap parti pembangkang,” katanya.
Kata beliau, rakyat kini menuntut tindakan segera sebelum mereka menterjemahkan dalam peti undi pada 12hb Ogos nanti.
Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan peruntukan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu sebanyak RM250,000 manakala RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu, ketika berkempen pada pilihan raya.
Sementara itu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa pengumuman geran kepada golongan belia di Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis pada Jumaat sebagai satu bentuk sogokan.