Ramadan platform terbaik untuk memperkukuh semangat Keluarga Malaysia
RAMADAN bukan sekadar bulan berpuasa bagi umat Islam, malah ia juga boleh menjadi wadah terbaik untuk mengukuhkan semangat Keluarga Malaysia melalui nilai-nilai toleransi, hormat-menghormati, dan meraikan perbezaan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata Ramadan juga merupakan bulan yang melatih umat Islam untuk bersabar dan mempunyai rasa empati yang tinggi terutama terhadap golongan kurang berkemampuan.
“Dalam semangat kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai sebuah keluarga, pada bulan yang mulia ini marilah kita mengambil sebanyak mungkin peluang untuk terus membantu golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Halimah berkata peralihan negara ke fasa endemik pada 1 April membolehkan rakyat menikmati sekatan yang longgar termasuk penganjuran bazar Ramadan.
Baca juga > Sempadan negara dibuka, negara masuk fasa endemik 1 April
“Kita akan lihat pelbagai kaum dan etnik Keluarga Malaysia berkunjung ke bazaar Ramadan untuk mendapatkan pelbagai makanan dan minuman serta keperluan. Namun, jangan lupa untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya. berkata.
Beliau turut mengucapkan salam Ramadan dan berharap umat Islam dapat memanfaatkan bulan ini dengan sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan harapan menemui Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. – SM