RAJA Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil sikap sambil lewa berkaitan soal-soal keselamatan negara kerana ia boleh membawa impak yang buruk jika diabaikan.
Baginda bertitah, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka maka tanggungjawab bersama untuk mempertahankan tanah sebagai tempat tanah tumpah darah kita.
“Justeru itu kita hendaklah sentiasa bersedia menyiapkan dengan ilmu dan latihan untuk menghadapi apa-apa ancaman kepada negara lebih-lebih lagi dengan apa yang berlaku di seluruh dunia sekarang,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Acara Menembak Pistol’ anjuran Markas Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) di Lapang Sasar 4 Rejimen Renjer DiRaja, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Yazid Yusuf.
Turut hadir ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Sempena program tersebut pasukan Jabatan Imigresen Negeri Perlis dibarisi oleh Abd Halim Ismail, Sallehuddin Yusuf dan Muhammad Amaluddin Sarani muncul sebagai johan bagi kategori ‘Berpasukan’.
Sementara itu, para pemenang bagi acara ‘Centre Fire Target’ individu pula dijuarai oleh Yazid Yusuf dengan 186 mata dan tempat kedua pula Inspektor Mohd Shaharuddin Ahmad Salleh dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan 182 mata.
Muhammad Abdul Halim pula berkongsi 166 mata dengan Sallehuddin Yusuf sekaligus bersama menduduki tempat ketiga. – SM
BACA Kerajaan sentiasa menjaga kebajikan pesara polis seluruh negara