RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah supaya rakyat membuang sikap suka berpeluk tubuh, malas berusaha dan terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.
Baginda bertitah, lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan perkembangan dan pembangunan semasa.
“Gandakan usaha kerana hanya dengan berusaha dan bekerja kuat sahaja kita akan berjaya di dalam hidup dan inilah sebenarnya makna sebenar perjuangan mewarisi dan mengisi kemerdekaan itu,” titah Baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar malam tadi.
Berkenan hadir Raja Perempuan, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khaleel.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Sementara itu kira-kira 20,000 rakyat hadir memenuhi stadium.
Pelbagai acara diadakan di mana ia dimulakan dengan persembahan koir oleh 300 penjawat awam di negeri ini.
Selain itu juga diadakan perarakan oleh 58 kontinjen.
Kemuncak acara adalah laungan merdeka dan persembahan bunga api tepat pada jam 12 tengah malam. – SM