Rakyat menderita akibat Covid-19, hentilah berbalah isu anggota Kabinet
PEMIMPIN politik digesa untuk menghentikan perbalahan berkaitan ketidakpuasan hati mengenai wakil parti masing-masing dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan agar pemimpin politik baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang melakukan gencatan politik di tengah-tengah kebimbangan rakyat terhadap penularan virus Covid-19.
“Hentikan seketika perbalahan politik dan ketidakpuasan hati dalam isu perlantikan anggota Kabinet demi memelihara dan memfokuskan maslahah rakyat yang lebih besar.
“Ayuh! Kita sama-sama berganding bahu menangani kemelut ekonomi dan coronavirus Covid-19 secara bersama. Kita panjatkan doa agar Allah memelihara dan menghindari kita daripada wabak Covid-19 yang menakutkan ini,” ajak Asyraf Wajdi.
Gesaan itu dibuat Asyraf Wajdi ketika beberapa pemimpin UMNO tampil menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pelantikan anggota Kabinet yang dikatakan meminggir parti itu.
Antaranya Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Azalina Othman Said yang lantang mengiritik kedudukan menteri UMNO dalam kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tidak setara dengan jumlah kerusi dimiliki parti itu.
Jelas Azalina, UMNO sepatutnya layak diberikan kementerian yang lebih baik seperti Kementerian Wanita, Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Hari ini setelah terbentuknya di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin wujud satu rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan parti-parti politik berkenaan dengan Kabinet tersebut.
“Bagi saya kepimpinan politik harus menumpukan kepada usaha untuk kita sama-sama tangani isu yang dihadapi oleh rakyat. Terutama wabak coronaviral – Covid-19 yang telahpun diisytiharkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) sebagai pandemik,” tegas Asyraf Wajdi.
Menurut Asyraf Wajdi, virus tersebut memberi impak ekonomi apabila harga minyak dunia jatuh merundum daripada AS$60 setong kepada AS$27 setong.
Kejatuhan harga minyak memberi isyarat bahawa rakyat bakal lebih dihimpin dengan kesusahan.
“Unjuran Belanjawan 2020 berasaskan harga minyak AS$60 setong jatuh sebanyak 34 peratus sehingga AS$27 setong hari ini dan dijangka akan jatuh sehingga AS$20 setong.
“Ramai lagi yang akan dibuang kerja. Ditamatkan perkhidmatan dan gaji dipotong. Harga barang dengan sendirinya akan meningkat dengan mendadak kerana pengeluaran yang terjejas akibat koronavirus.
“Kita ketepikan soal perbezaan dan perbalahan. Marilah kita sama-sama muafakat dan bekerjasama dalam menangani isu rakyat yang begitu menghimpit pada hari ini, yang benar-benar serius dan menghantui kita,” kata Asyraf Wajdi.-SM