JenayahLuar Negara

Rakyat Malaysia dipenjara atas kesalahan penipuan sewa rumah

NEGARA jiran, Republik Singapura sangat ketat pelaksanaan undang-undangnya tanpa mengira pesalah adalah rakyat tempatan atau warganegara luar.

Seorang rakyat Malaysia berusia 40 tahun yang tinggal melebihi tempoh lebih enam tahun di negara itu dan menipu rakan senegaranya sebanyak SGD$10,000 dalam penipuan sewa rumah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan tiga kali sebatan.

Er Chern Siew mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang mana enam daripadanya berkaitan penipuan dan satu pertuduhan tinggal melebihi tempoh.

Portal Today di Singapura melaporkan Er telah ditahan pada 14 Oktober lalu.

Dia mula masuk ke Singapura menaiki bas pada Mei 2015 untuk mencari pekerjaan tetapi hanya mempunyai pas lawatan 14 hari.

Timbalan Pendakwa Raya, Gabriel Choong berkata, Er tinggal di negara itu selama 2,394 hari dan bekerja sebagai jurujual serta ejen hartanah walaupun tidak dilesenkan oleh Akta Ejen Hartanah Singapura.

Bagi mengelak ditangkap, dia tinggal di pelbagai lokasi di seluruh negara itu malah telah menandatangani penyewaan unit di sebuah lokasi yang tidak didedahkan dengan menggunakan nama rakannya, Lim Sau Sen.

Dia turut menggunakan butiran pengenalan rakannya bagi aplikasi telefon, TraceTogether ketika pandemik Covid-19 yang sama seperti aplikasi MySejahtera dan mendaftarkan nombor telefon bimbitnya menggunakan nama teman wanitanya, Kok Po Yen.

Dia akhirnya ditahan selepas mangsa penipuannya membuat laporan polis pada Julai tahun lalu.

Di antara 1 Julai dan 26 September tahun lalu, Er didapati telah menipu 14 mangsa untuk membayar deposit sewa bagi unit yang sama di kompleks pangsapuri terletak di Lorong 35 Geylang.

Sekurang-kurangnya lima mangsanya terdiri daripada rakyat Malaysia yang semuanya wanita dan ia melibatkan sejumlah wang antara SGD$800 dan SGD$850.

Choong berkata, Er akan menghantar mesej kepada orang ramai kelihatan seperti rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura menerusi media sosial untuk cuba menarik minat mereka menyewa hartanah yang diuruskannya.

Dalam salah satu penipuannya, dia telah meyakinkan mangsa wanita terbabit untuk memasukkan deposit sewa SGD$850 ke dalam akaun bank teman wanitanya sebelum mendakwa terdapat kelewatan tarikh pindah masuk dan kemudiannya terus gagal dikesan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button