Politik

Rakyat jelak dengan politik, tumpu bina kembali hidup

DUA minggu aku di Melaka membuat liputan pilihan raya negeri.

Aku berjumpa pelbagai lapisan rakyat dan aku dapat simpulkan rakyat bawahan yang terkesan dengan pandemik tidak berminat dengan politik.

Mereka dalam situasi bergelut dengan kehidupan yang perlu dibina semula selepas dibantai teruk oleh pandemik.

Bagi orang Cina, mereka baharu sahaja dapat memulakan kembali perniagaan. Politik tidak ada dalam percaturan hidup mereka.

Mereka sudah serik bila perniagaan terpaksa ditutup akibat pandemik dan mereka tidak sanggup melaluinya sekali lagi jika berlaku ledakan penularan wabak.

Orang Melayu pula kebanyakan berniaga makanan dan hujung minggu adalah tempoh untuk mengaut keuntungan kerana orang luar datang melancong ke Melaka.

Pengusaha inap desa yang aku sewa juga melahirkan hasrat untuk menjual rumahnya kerana tidak mampu melangsaikan bayaran bulanan.

Walaupun aku nasihat supaya bertahan, dia sudah tidak mampu. Sewa yang aku bayar untuk dua minggu hanya menampung sebulan bayaran bulanan.

Untuk bulan-bulan seterusnya dia tidak nampak dari mana hendak dicari modal.

Kemenangan pilihan raya hanya mengubah kehidupan orang politik. Bagi rakyat marhaen mereka hanya tumpang gembira dan selepas itu mereka terpaksa bertungkus-lumus untuk meneruskan kehidupan.

Harapan mereka kini kepada Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob untuk menggerakkan kembali ekonomi rakyat.

Konsep Keluarga Malaysia memang tepat pada masanya, di mana tiada siapa yang dipinggirkan daripada pembangunan negara.

Pelancaran Pusat Ekonomi Digital yang tertumpu kepada penduduk di luar bandar adalah kaedah yang bakal memberi impak segera.

Selain diberi latihan untuk memasarkan produk secara atas talian, kerajaan juga meningkatkan liputan data bagi melancarkan usaha itu.

Keluarga Malaysia telah mengembalikan kembali keyakinan rakyat kepada pemimpin dan ia diterjemahkan pada PRN Melaka dengan sokongan kepada kerajaan dikembalikan.

Justeru adalah lebih baik pilihan raya umum tidak diadakan segera bagi memberi ruang kepada rakyat untuk bernafas tanpa terseret dek emosi orang politik.

Orang politik belajarlah menahan nafsu seketika dan janganlah ditekan perdana menteri supaya mengadakan pilihan dengan segera.

Lagipun ia tidak baik untuk ekonomi negara yang belum stabil.

Rakyat meletakkan harapan sekali lagi atas kebijaksanaan perdana menteri dan para pemimpin parti komponen kerajaan.

Dalam hal ini selesaikanlah dalam semangat kekeluargaan dan bukan dengan meruntuhkan satu lagi kerajaan kerana tamak serta gilakan kuasa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button